UTAR, Samaiden tempa laluan pendidikan boleh diperbaharui
Satu lagi langkah kritikal ke arah menyepadukan kehebatan akademik dengan kepakaran industri khususnya dalam bidang bidang tenaga boleh diperbaharui telah dimeterai.
Permeteraian memorandum persefahaman (MoU) itu membabitkan pakar tenaga boleh diperbaharui (RE), Samaiden Group Berhad (Samaiden) bersama Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) pada Khamis.
Presiden UTAR, Ir Profesor Datuk Dr Ewe Hong Tat berkata, ia pengiktirafan terhadap universiti untuk rangkaian komprehensif program sarjana muda dan pascasiswazah.
Permeteraian itu juga menandakan wujudnya rangka kerjasama yang bertujuan meningkatkan amalan pendidikan dan profesional, memberi manfaat kepada pelajar, fakulti dan profesional industri.
"Kerjasama ini memerlukan pertukaran idea dan kemudahan termasuk lampiran kakitangan dan lawatan untuk memperkaya pembangunan kurikulum dan penyertaan dalam aktiviti yang berkaitan dengan industri.
"Ia juga termasuk menganjurkan lawatan sambil belajar industri untuk pelajar UTAR, lawatan kakitangan bersama untuk pembangunan profesional dan meningkatkan pengalaman pembelajaran.
"Tambahan pula, perkongsian ini memberi tumpuan kepada membangunkan latihan kemahiran dan pendidikan berterusan untuk kakitangan industri serta menyediakan peluang pembangunan kerjaya untuk pelajar sekali gus merapatkan jurang antara akademi dan sektor tenaga boleh diperbaharui," katanya kepada Sinar Bestari.
Hong Tat juga mengakui berasa sangat gembira kerana MoU bersama Samaiden menandakan terbinanya jambatan yang menghubungkan teori akademik dengan amalan industri penting dalam bidang tenaga boleh diperbaharui yang berkembang pesat.
“Dengan bekerjasama, kami mencipta peluang untuk pelajar dan kakitangan mendapatkan pengalaman serta pandangan langsung tentang cabaran dan kemajuan dunia sebenar dalam sektor ini.
"Matlamat kami untuk memupuk persekitaran pembelajaran dan inovasi yang melampaui bilik darjah, menyediakan graduan menjadi bukan sahaja berpengetahuan tetapi juga profesional yang boleh menyesuaikan diri dan berfikiran ke hadapan dalam bidang tenaga boleh diperbaharui,” katanya lagi.
Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan Samaiden, Ir Chow Pui Hee berkata, penjajaran dengan UTAR adalah langkah ke arah memupuk generasi baharu pakar dalam tenaga boleh diperbaharui.
"Perkongsian ini merupakan penjelmaan komitmen kami terhadap pembangunan dan inovasi yang mampan.
“Dengan menyepadukan pandangan dan kepakaran industri kami bersama ketegasan akademik UTAR, kami meletakkan asas untuk pelajar cemerlang dalam tenaga boleh diperbaharui. Ia bidang yang penting untuk masa depan planet kita.
"Kami teruja untuk menjadi sebahagian daripada perjalanan ini, menyumbang kepada pendidikan individu yang tidak lama lagi akan memimpin dan berinovasi dalam usaha mencari penyelesaian tenaga mampan," katanya.
Untuk rekod, Samaiden terlibat dalam kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) sistem fotovoltanik solar (PV) dan loji janakuasa.