UTeM rangkul 13 anugerah pada MTE 2023
Rangkaian produk inovasi Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) terus diiktiraf dan menyerlah apabila meraih 13 anugerah pada Malaysia Technology Expo (MTE) 2023 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur baru-baru ini.
Anugerah-anugerah yang dimenangi mereka terdiri daripada satu Anugerah Inovasi Cemerlang, dua Anugerah Khas dan 10 pingat (tujuh emas, dua perak dan satu gangsa) di MTE 2023.
Menurut Naib Canselor UTeM, Profesor Ts Dr Massila Kamalrudin, berita gembira itu adalah rentetan kejayaan kumpulan penyelidik UTeM dalam usaha memperhebatkan bidang penyelidikan dan inovasi universiti secara berterusan.
Jelasnya, pencapaian tersebut merupakan titik sentuhan yang mencerminkan rangkaian produk inovasi UTeM terus diiktiraf dan berimpak dunia yang berpakejkan kemaslahatan kepada komuniti sejagat.
“UTeM mempamerkan persembahan bergaya apabila merangkul 13 anugerah dalam MTE 2023.
“Kejayaan ini sememangnya satu kejutan buat warga kampus. Tahniah dan sekalung penghargaan kepada semua pihak yang terlibat pada pertandingan tersebut. Anda memang hebat,” ujarnya.
MTE 2023 menyaksikan kumpulan pencipta inovasi dari seluruh dunia mengetengahkan hasil ciptaan produk inovasi masing-masing yang berimpak global dengan lebih 500 penyertaan dari pelbagai negara.
Sementara itu, Sinar Bestari kongsikan senarai inovasi UTeM yang meraih anugerah dalam MTE 2023.
Inovasi dikenali Banana Leaf Packaging yang dihasilkan kumpulan penyelidik diketuai Dr Ridhwan Jumaidin telah merangkul Anugerah Inovasi Cemerlang dan pingat emas pada pertandingan tersebut.
Manakala dua Anugerah Khas pula diberikan kepada inovasi Toyyib Value Chain Gateaway dan PROTECT.
Kedua-dua inovasi itu dibangunkan penyelidik yang diketuai Profesor Madya Ts Dr Mohammed Hariri Bakri dan Profesor Madya Ir Ts Dr Mohd Yuhazri Yaakob.
Pada masa sama, Toyyib Value Chain Gateaway dan PROTECT juga memenangi pingat emas di MTE 2023.
Seterusnya, empat pingat emas lagi telah disumbangkan menerusi produk inovasi Green Concrete (Grec’ko) diketuai Profesor Madya Dr Jariah Mohamad Juoi; Solar Powered Automated Fertigation System (i-SIRAM) diketuai Kamilah Jaffar; Used Cooking Oil Methyl Ester as Low Viscosity Dielectric Liquid for Oil-Immersed Transformers (Dr Sharin Ab Ghani) dan Oleophilic Polymer Waste-Oil Solidifier (OPWOS) (Ts Dr Nurul Hanim Razak.
Dua pingat perak pula diperoleh menerusi inovasi BiGREEN Diesel dan Passive Cooling of Photovoltaic Solar Panel Using Aluminium Heat Sink manakala pingat gangsa diraih produk Vowel Recognition System (VoRecS).
Akhir sekali, Sinar Bestari mendoakan agar UTeM terus mencipta nama dan merangkul pelbagai lagi anugerah dalam pertandingan inovasi di luar sana.
Semoga terus cemerlang dan maju jaya dalam apa jua bidang diceburi.