Zero Balance Policy menggugat mahasiswa kurang berkemampuan
Menyambung pengajian ke peringkat universiti merupakan idaman dan impian semua mahasiswa biarpun terpaksa berdepan dengan masalah utama iaitu kewangan.
Namun dengan kewujudan pelbagai platform pinjaman atau biasiswa yang ditawarkan pada hari ini, sekurang-kurangnya memberi kelegaan kepada penuntut sekali gus membantu meringankan beban kewangan mereka terutamanya dalam kalangan keluarga berpendapatan rendah (B40)
Baru-baru ini Sinar Bestari tertarik dengan satu perkongsian video yang dimuat naik di aplikasi TikTok oleh Presiden Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM), Nazirah Abdullah.
Menurut Nazirah, universiti berkenaan melaksanakan satu dasar dikenali sebagai dasar baki sifar (Zero Balance Policy) yang mewajibkan semua mahasiswa untuk membayar yuran penuh pendaftaran antara RM1,000 hingga RM20,000.
“Dasar baru ini adalah satu polisi kutipan hutang melibatkan mahasiswa Tahun Pertama hingga Tahun Empat yang memerlukan mereka untuk membayar yuran dahulu sebelum dibenarkan untuk meneruskan pengajian.
“Saya kira polisi ini sebenarnya menindas mahasiswa. Bayangkan hari ini semua harga barangan naik dan secara tiba-tiba pihak pentadbiran universiti membuat polisi berkenaan tanpa notis awal.
“Perkara ini juga sedikit sebanyak memberi kesan besar kepada mahasiswa yang tidak berkemampuan,” ujarnya seperti dipetik menerusi video yang dimuat naik.
Dalam pada itu, KMUM dalam kenyataannya turut mengecam pelaksanaan dasar berkenaan.
Satu petisyen rayuan telah dibuat bagi membantah dasar itu di laman sesawang change.org sejak 15 September lalu dan berjaya mengumpul 4,531 sokongan setakat 11 pagi pada Selasa.
“Walaupun dasar ini bertujuan untuk mengumpul hutang pelajar, Kesatuan percaya bahawa dasar ini menindas hak pelajar, tidak adil dan harus dihapuskan serta-merta.
“Mustahil bagi pelajar untuk mengumpul jumlah wang yang besar dalam jangka masa singkat,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah KMUM, pentadbiran universiti pernah memperkenalkan dasar yang sama tahun lalu tanpa sebarang notis awal, namun akhirnya bersetuju untuk melonggarkan berikutan bantahan daripada pelajar.
“Kesilapan yang sama diulangi tanpa dimaklumkan terlebih dahulu menunjukkan hakikatnya pentadbiran berkenaan tidak menghormati autonomi pelajar.
“Jadi kesatuan menuntut universiti untuk hapuskan dasar baki sifar selama-lamanya dan memperbaiki portal dalam talian Sistem MAYA,” ujarnya.