Sebahagian murid SK Parit yang menyertai majlis khatam al-Quran sempena Ramadan.
Sebahagian murid SK Parit yang menyertai majlis khatam al-Quran sempena Ramadan.

53 murid SK Parit jayakan majlis khatam al-Quran peringkat sekolah

ROSHLAWATY MD RAIEH
19 Apr 2023 04:30pm
A
A
A

Seramai 53 murid dari Sekolah Kebangsaan (SK) Parit, Perak, telah mengambil peluang menghidupkan bulan Ramadan dengan mengikuti majlis khatam al-Quran baru-baru ini.

Program anjuran Panitia Pendidikan Islam SK Parit dengan kerjasama para guru dan barisan pentadbir sekolah itu merupakan aktiviti tahunan setiap kali Ramadan tiba.

Menurut Guru Besarnya, Hamzah Zakaria, aktiviti khatam al-Quran tersebut sebahagian daripada Program Ihyak Ramadan yang telah bermula pada 1 Ramadan lalu dengan guru dan murid dibahagikan kepada beberapa kumpulan tadarus al-Quran yang ditetapkan.

“Setiap kumpulan akan diletakkan seorang khalifah yang terdiri dalam kalangan guru dan peranan mereka memperbetulkan bacaan al-Quran yang dibaca setiap murid.

“Selain memperbetulkan bacaan al-Quran, aktiviti tersebut juga secara tidak langsung menanam sifat kerjasama, ketenangan hati dan menyemai perpaduan dalam kalangan peserta yang menyertainya,” ujarnya kepada Sinar Bestari.

Cikgu Hamzah
Cikgu Hamzah

Cikgu Hamzah berkata, majlis khatam al-Quran yang diadakan merupakan aktiviti penutup bagi Program Ihyak Ramadan tahun ini.

Selain diadakan secara bersemuka di SK Parit, ia turut dijalankan secara langsung menerusi YouTube yang dikendalikan Cikgu Azrul Azuan Mohd Asri dan wakil guru dari Unit Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) sekolah.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Cikgu Hamzah memberitahu, Program Ihyak Ramadan turut menyediakan beberapa aktiviti kerohanian lain sepanjang bulan puasa.

“Selain khatam al-Quran, kita turut adakan slot keagamaan seperti solat dhuha berjemaah, ceramah, program Santapan Rohani dan Tanyalah Ustazah serta banyak lagi.

“Insya-ALLAH dengan kejayaan program tahun ini, kita merancang untuk menganjurkannya lagi pada masa akan datang dengan pengisian yang lebih banyak,” ujarnya.

Sementara itu, salah seorang peserta khatam al-Quran, Khalif Iman Shamsul Zahari berkata, program tersebut memberi banyak pengalaman berharga kepada dia dan rakan-rakan lain.

“Menerusi khatam al-Quran, ia dapat melatih saya menjadi seorang pemimpin yang berdisiplin kepada diri dan agama.

“Malah ia juga menyemai rasa kecintaan kepada al-Quran sekali gus menjadikan bacaan al-Quran sebagai sebahagian daripada amalan harian,” jelas murid Tahun Enam ini.

No Image Caption

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok