
Banjir Johor: 20 sekolah di lima daerah terjejas
Seramai 101 murid di lima daerah di Johor terjejas akibat banjir susulan hujan berterusan sejak Rabu hingga menyebabkan sesi pembelajaran di 20 sekolah terjejas.
Exco Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor, Aznan Tamin berkata, jumlah sekolah yang terkesan itu direkodkan sehingga jam 12 tengah hari dan dijangka meningkat menjelang petang.
"Kesemua 20 sekolah itu membabitkan sekolah di lima daerah iaitu Johor Bahru, Kulai, Pontian, Kluang dan Kota Tinggi.
"Daripada jumlah tersebut, tujuh sekolah dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS), dua sekolah dinaiki air dan 11 lagi terputus hubungan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas mengadakan lawatan ke PPS di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Mutiara pada Khamis.
Mengulas lanjut, Aznan memaklumkan, SK Kangkar Tebrau dan SK Kampung Maju Jaya di sini sudah dinaiki air dan menyebabkan operasi sekolah dihentikan sepenuhnya.
Sementara itu, katanya, SK Perigi Acheh di Johor Bahru, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Nam Heng di Kota Tinggi, serta sembilan sekolah di Kluang terputus hubungan akibat banjir.
Pada masa sama, sebanyak tujuh sekolah pula dihentikan operasi bagi memberi laluan dijadikan PPS untuk menempatkan mangsa banjir.
"Semua sekolah yang telah digazetkan sebagai PPS kini dalam keadaan siap sedia memandangkan hujan masih berterusan dan keadaan banjir dijangka bertambah buruk.
"Setiap daerah mempunyai sekolah yang telah digazetkan sebagai PPS. Buat masa ini, sekolah-sekolah berkenaan diberikan penekanan agar bersedia menerima mangsa banjir pada bila-bila masa.
"Kita juga sudah mengadakan beberapa siri perbincangan dengan kerajaan negeri dan Persekutuan supaya sekolah yang dijadikan PPS dapat bersedia lebih awal sekiranya banjir semakin buruk," jelas beliau.
Menurut Aznan, kerjasama dengan agensi berkaitan turut diperkukuh bagi memastikan bantuan segera dapat diberikan kepada mangsa yang terjejas.
Dalam pada itu, beliau berkata, walaupun sesi persekolahan di sekolah yang terjejas tidak dapat dijalankan secara fizikal, namun kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) akan dilaksanakan bagi memastikan murid tidak ketinggalan dalam pelajaran.