Cikgu bukan Islam ajar tulisan jawi, titip pentingnya tulisan bersejarah dalam diri murid
‘Saya cuma seorang guru Bahasa Melayu yang menghargai kewujudan tulisan jawi kerana nilai seni, budaya dan sejarahnya yang tinggi.’
Itulah kata-kata yang dilontarkan oleh seorang guru bukan beragama Islam, Cikgu Loren Fren menerusi satu hantaran video yang dimuat naik baru-baru ini.
Berdasarkan video itu jelas memaparkan dirinya mengajar anak-anak murid tulisan jawi dan lebih menarik lagi tulisannya di papan putih juga kelihatan cantik serta indah dipandang.
“Jarang-jarang saya mengajar tulisasn jawi jadi saya buat video kenangan sekali.
“Mana tahu ada yang masih belum ketahui mulai Tahun 2020 tulisan jawi dalam subjek Bahasa Melayu Tahun Empat kemudian diteruskan sampai Tahun Enam bertujuan memperkayakan murid dari aspek seni, warisan dan sejarah Melayu.
“Sebagai rakyat Malaysia, kita mesti tahu sikit-sikit tulisan bersejarah ini, jangan negatif ya kita hidup membawa damai saja sudah cukup,” tulisnya.
Cikgu Loren turut mengingatkan, dia juga seorang tenaga pengajar yang masih belajar tulisan bersejarah itu dan tiada niat untuk menunjuk pandai.
Bahkan kata cikgu dari kawasan pedalaman Sekolah Kebangasaan (SK) Bawang K9, Sabah, dia hanya mengajar mengunakan silibus yang terdapat di dalam buku teks.
“Tanpa ragu-ragu, saya ajar sahaja apa yang tertulis dalam buku teks, saya tiada niat mahu tunjuk pandai saya pun masih belajar.
“Semoga perkara kecil seperti ini mengingatkan kita bahawa semua rakyat Malaysia adalah sepupu-sepapat dan sekeluarga. Jangan negatif ya,” katanya.
Dalam pada itu, hantaran video Cikgu Loren turut mendapat perhatian bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik.
Beliau menyatakan terima kasih kepada cikgu berkenaan kerana telah mengajar erti cinta, kebahagian dan saling menghormati.
“Terima kasih Cikgu Loren Fren. Anda mengajar kami erti cinta, kebahagian dan saling menghormati,” tulisnya.
Artikel berkaitan:
10 tip guru mengawal bilik darjah