
Didik cintai alam sekitar – KDEBWM
Bijak urus sisa pepejal bermula bangku sekolah
Botol kosong, kotak terpakai dan cakera padat lama bukan lagi sekadar bahan buangan apabila sekumpulan pelajar sekolah rendah berjaya menukarnya menjadi hasil ciptaan kreatif.
Menerusi Pertandingan Inovasi Projek 3R anjuran KDEB Waste Management (KDEBWM) bertemakan konsep 'reduce, reuse, recycle', para peserta berjaya menghasilkan pelbagai rekaan unik menggunakan bahan kitar semula antaranya pasu bunga daripada botol plastik dan kraftangan hiasan daripada barangan terbuang.
Eksekutif Kanan Jabatan Komunikasi Korporat KDEBWM, Nurashidah Shaharudin berkata, program berkenaan bertujuan memupuk kesedaran terhadap alam sekitar dan pengurusan sisa sejak dari bangku sekolah.
“Kita mahu para pelajar faham mengenai bahan buangan boleh digunakan semula untuk mencipta sesuatu berguna. Apabila mereka tahu apa yang boleh dikitar semula, mereka akan mula berfikir sebelum membuangnya begitu sahaja,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Untuk rekod, sebanyak 12 sekolah rendah dari Lembah Klang dan Putrajaya menyertai pertandingan itu yang diadakan bersempena Karnival Siang Malam Karangkraf di sini.
Antara sekolah-sekolah yang mengambil bahagian adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Suria, SK Kampung Medan, SK Subang Bestari, SK Gombak Setia dan Sekolah Rendah Islam Integriti (SRII) Ar Raudhah.
Para peserta pula perlu bertanding dalam format satu kumpulan merangkumi dua hingga tiga orang dengan tempoh masa selama empat minggu diberikan untuk menyiapkan hasil inovasi masing-masing sebelum dipersembahkan kepada juri.

Dalam pada itu, Sekolah Rendah Islam Integriti (SRII) Ar Raudhah berjaya merangkul tempat pertama, manakala tempat kedua dimenangi oleh SK Jalan 3 dan tempat ketiga dimenangi SK Seri Suria.
Pemenang utama membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000 diikuti RM800 dan RM500 untuk tempat kedua dan ketiga manakala hadiah sagu hati RM300 turut diberikan kepada tempat keempat hingga keenam, selain insentif khas RM100 kepada setiap sekolah.
Menurut Nurashidah, pihaknya berharap pertandingan seumpama itu dapat diteruskan di peringkat sekolah agar budaya 3R dapat dipupuk secara berterusan dalam kalangan murid.
“Kita menggalakkan sekolah ambil inisiatif menganjurkan program seperti ini secara berkala. Pendidikan tentang kitar semula tak semestinya dalam buku teks, ia lebih berkesan apabila mereka buat sendiri,” jelasnya.
Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Penolong Pengurus Besar Komunikasi Korporat KDEBWM, Mahfuzah Muhammad Tarmidi.

Galak peserta urus bahan kitar semula
Dalam pada itu, juri pertandingan, Ammar Ehsan Omar berkata, aspek penilaian bukan sahaja berdasarkan kreativiti dan fungsi inovasi, malah turut mengambil kira bagaimana peserta mengaplikasikan konsep kitar semula dalam penyelesaian yang ditampilkan.
“Secara peribadi, saya sangat tertarik melihat corak pemikiran anak-anak sekolah ini. Mereka berjaya faham konsep 3R dan bawa solusi sebenar menggunakan bahan buangan,” katanya.
Beliau berkata, usaha seperti itu penting dalam membentuk generasi yang lebih peka terhadap pengurusan sisa dan kesan tindakan harian terhadap alam sekitar.
“Apabila mereka sedar apa yang mereka hasilkan boleh kurangkan sampah, itu sudah langkah pertama ke arah perubahan,” ujarnya.
Antara penyertaan yang menarik perhatian ialah inovasi Eco Magic Marble oleh pelajar SRII Ar Raudhah, Putrajaya yang menggunakan plastik keras seperti penutup botol untuk dijadikan marmar menyala (glow in the dark).
Penyelia pasukan, Muhd Syafiq Azlan berkata, projek itu menghasilkan panel laluan, kerusi dan hiasan dinding daripada plastik HDPE yang dicair dan dibentuk semula kepada bahan seperti batu marmar.
“Kami pilih plastik HDPE sebab ia sukar diproses. Jadi kami cari cara untuk jadikannya sesuatu yang berguna dan tahan lama,” katanya.
Menurutnya, bahan tersebut bukan hanya tahan lasak, malah mudah dibentuk menjadi elemen pelengkap untuk ruang awam dan taman.
“Kami tambah elemen menyala waktu malam supaya ia selamat digunakan sebagai laluan pejalan kaki atau kerusi di tempat terbuka,” jelasnya.
Sementara itu, beliau berkata, pihaknya akan meneruskan usaha kitar semula bahan terpakai di sekolah sebagai usaha mengekalkan kelestarian alam sekitar sekali gus mendidik anak-anak mengenai manfaat kitar semula.
Ketua kumpulan, Muhammad Aqil Iman Abdul Rahman,12, berkata, pengalaman mengetuai projek itu memberinya inspirasi untuk terus mencipta menggunakan bahan yang ramai anggap tidak berguna.
“Saya bangga dapat hasilkan sesuatu yang orang lain boleh guna. Sekarang saya tahu plastik pun berguna kalau kita tahu cara,” katanya.