Keadaan SK Marian Convent yang betul-betul di hadapan jalan raya.
Keadaan SK Marian Convent yang betul-betul di hadapan jalan raya.

Kesesakan Jalan Raja Dihilir risikokan murid SK Marian Convent

21 Mar 2024 10:56am
A
A
A

Kesesakan luar biasa di Jalan Raja Dihilir berhadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Marian Convent di Ipoh, Perak sudah berlarutan sejak sekian lama sehingga menimbulkan kebimbangan pelajar dan ibu bapa.

Kesesakan bertambah buruk pada waktu puncak, antara jam 12 hingga 1 petang dan sebelah petang antara 5 hingga 6.30 petang, apabila kenderaan ibu bapa beratur sepanjang jalan menunggu giliran untuk mengambil anak-anak mereka dari sekolah.

Ketua Pusat Khidmat dan Aduan Barisan Nasional (BN) Perak, Mohd Rawi Abdullah berkata, keadaan bertambah buruk pada waktu puncak apabila segelintir pengguna memandu laju sehingga membahayakan ibu bapa dan murid yang keluar masuk di kawasan berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya menerima banyak aduan daripada orang ramai yang bimbang akan keselamatan mereka terutama ketika keluar dari Jalan Francois (sekolah) untuk masuk semula ke Jalan Raja Dihilir.

"Keadaan kenderaan beratur sudah tidak dapat dielakkan cuma menjadi kebimbangan ibu bapa ialah kenderaan dari arah Jalan Tambun selepas lampu isyarat di hadapan Hospital Pantai, kebanyakannya dipandu laju.

"Kebanyakan ibu bapa selepas mengambil anak mereka akan membuat pusingan U di Jalan Raja Dihilir atau masuk ke Jalan Canning Estate, di sini selalunya berlaku kemalangan. Perlu ada penambahbaikan agar pengguna dapat perlahankan kenderaan mereka," katanya ketika ditemui Bernama.

MOHD RAWI
MOHD RAWI

Artikel Berkaitan:

Mohd Rawi berkata, pihaknya telah mengusulkan cadangan melalui surat permohonan kepada pihak Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) termasuk Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi tujuan pemasangan papan tanda peringatan had laju, lampu amaran lalu lintas berkelip dan garisan kuning termasuk pembinaan bonggol.

"Pusat Khidmat dan Aduan BN Perak telah hantar surat pada 15 Jan lepas kepada pihak berkaitan namun setakat ini masih belum ada jawapan dan kita juga turut maklumkan perkara ini kepada pejabat Menteri Besar Perak serta pihak sekolah agar perkara ini diberi perhatian serius," katanya.

Menurut Mohd Rawi, pihaknya turut mencadangkan agar kawasan lapang berdekatan sekolah terbabit dijadikan kawasan menunggu ibu bapa bagi mengurangkan kesesakan di Jalan Raja Dihilir.

Sementara itu, seorang penjaga Mohd Hanip Mohd Rafee, 38, berkata dia yang sering berulang alik mengambil anak sekolah di kawasan berkenaan resah setiap kali keluar dari persimpangan untuk masuk ke Jalan Raja Dihilir.

"Kenderaan akan beratur dari lampu isyarat sehingga sekolah sepanjang 800 meter beratur menunggu giliran menghantar atau mengambil anak, itu belum lagi ada segelintir ibu bapa yang pentingkan diri memotong barisan," katanya.

Bagi Chew Mei Ling, 45, yang mengambil dua anak saudaranya bersekolah sesi petang berkata, masalah lalu lintas kritikal serta risiko kemalangan itu boleh diselesaikan sekiranya semua pihak memberi kerjasama sambil merayu pihak berwajib mengambil tindakan segera. - Bernama

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok