Keyakinan diri dengan pengucapan awam
Takut, gementar dan berdebar-debar adalah perasaan yang biasa dirasai oleh setiap individu yang hendak berucap di khalayak ramai.
Ini termasuk para pelajar yang pastinya mengalami simptom gemuruh luar biasa apabila di minta bercakap di depan masyarakat.
Untuk mengatasi ketakutan itu, Unit Pengucapan Awam dan Bakat Murid (UCAB), Sekolah Rendah Islam Hidayah, Johor mengambil inisiatif melaksanakan aktiviti pengucapan awam untuk murid-murid di sekolah mereka.
Tujuannya adalah untuk memupuk kemahiran berkomunikasi yang berkesan dalam kalangan anak-anak didik di samping membina keyakinan diri masing-masing.
Menurut Ketua Unit UCAB, Cikgu Mohamad Fadzil Edris, aktiviti pengucapan awam yang dikenali Open Mic Grand Stand (OMGS) adalah aktiviti melibatkan murid Tahun Empat hingga Tahun Enam.
“Tiga bahasa utama iaitu bahasa Melayu, bahasa Inggeris dan b ahasa Arab diketengahkan dalam OMGS.
“Murid-murid akan diberi satu bahasa untuk bercakap di hadapan rakan-rakan pada waktu rehat.
“Setakat ini, ramai murid telah menyertainya dan sebagai saguhati kepada penyertaan, mereka diberikan kupon makanan dan lencana butang program,” katanya.
Sementara itu, murid Tahun Enam, Hana Zaid memberitahu, OMGS telah meningkatkan keyakinannya untuk berkomunikasi di khalayak ramai dan dia berhasrat untuk mengikuti aktiviti sebegini akan datang.
Terdahulu, OMGS yang dianjurkan dengan kerjasama tiga panitia Sekolah Rendah Islam Hidayah iaitu Panitia Bahasa Melayu, Panitia Bahasa Inggeris dan Panitia Bahasa Arab di lihat mampu membina keyakinan diri dalam kalangan murid sekali gus meningkatkan motivasi, prestasi akademik dan perkembangan sosial mereka.
Murid yang yakin dengan kemampuan mereka cenderung lebih berani menghadapi cabaran, bersikap positif terhadap pembelajaran dan membentuk asas kukuh untuk perkembangan diri masing-masing.