Pendedahan hidroponik pupuk keseronokan pembelajaran bagi Murid Berkeperluan Khas

AZLEENDA SAHALUDINAZLEENDA SAHALUDIN
10 Feb 2023 04:22pm

Hidroponik merupakan kaedah bercucuk tanam dengan meletakkan akar pokok ke dalam air baja yang mengandungi nutrient tanpa menggunakan tanah.

Ia merupakan satu teknologi pertanian yang mampu memberi keuntungan kepada pengusaha terutamanya bagi pengeluaran sayuran serta ulam-ulaman.

Jika dilihat dari sudut lain, penerapan ilmu tentang hidroponik terutamanya dalam kalangan Murid Berkeperluan Khas (MBK) berupaya meningkatkan kemahiran manipulatif selain memberi keseronokan kepada mereka dalam proses Pengajaran dan Pembelajaran (PdP).

Untuk itu, Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Desaminium, Selangor, telah membina sebuah kompleks hidroponik yang membuka peluang kepada murid untuk mempelajari kaedah penanaman berkenaan.

A Rahim Mohd Mislani
A Rahim Mohd Mislani

Guru Besarnya, A Rahim Mohd Mislani berkata, inisiatif membuka kompleks tersebut adalah untuk membantu pembelajaran MBK menerusi asas pertanian selain memberi fokus kepada perkembangan kemahiran dan pengamatan mereka.

“Dengan pembelajaran luar bilik darjah ini secara tidak langsung melatih murid terutamanya MBK supaya dapat hidup berdikari sekali gus memberi pendedahan dan keyakinan kepada mereka.

“Malah pendedahan tentang hidroponik juga dilihat mampu memberi keseronokan kepada mereka di samping memupuk minat untuk hadir ke sekolah,” katanya ketika ditemui pada Majlis Perasmian Kompleks Hidroponik PPKI, baru-baru ini.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, pembinaan kompleks hidroponik ini turut menerima sumbangan CIMB Foundation sebanyak RM20,000.

Sementara itu, menurut Ketua Pegawai Eksekutif, CIMB Foundation, Rafe Haneef, program pendidikan adalah sebahagian daripada komitmen pihaknya untuk meningkatkan porgram pembelajaran berasaskan komuniti.

Ujar Rafe, pihaknya berpegang teguh dengan prinsip pendidikan inklusif dan percaya pendidikan merupakan hak bagi setiap individu tanpa mengira perbezaan.

Dalam pada itu, SK Taman Desaminium menempatkan MBK yang terdiri daripada sindrom down, austistic, hiperaktif, cerebral palsy, lembam, kurang upaya intelektual dan disleksia.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp