Juara Piala Raja Muda Selangor 2023 dimenangi oleh SK Seksyen 20.
Juara Piala Raja Muda Selangor 2023 dimenangi oleh SK Seksyen 20.

SK Seksyen 20 rangkul Piala Raja Muda Selangor 2023

MUHAMMAD ZAKWAN NAZARALY
04 Oct 2023 05:14pm
A
A
A

Sekolah Kebangsaan (SK) Seksyen 20, Shah Alam, Selangor menewaskan SK Taman Alam Megah (juga dari Shah Alam) dengan 2-0 pada perlawanan akhir di Padang Latihan Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) untuk dinobatkan sebagai juara Piala Raja Muda Selangor 2023 pada Selasa.

Dalam aksi sengit itu, SK Seksyen 20 ternyata lebih unggul menerusi gol Muhammad Nazhaizal Qusyairi Muhamad Nazeri dan Afif Ikhwan Muhamad Zuhdi untuk mengesahkan kemenangan.

Selaku juara, SK Seksyen 20 membawa pulang hadiah wang tunai RM4,000, piala, pingat serta sijil yang disampaikan oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Kewangan & Perkhidmatan Korporat) Kumpulan Perangsang Selangor (KPS) Berhad, Suzila Khairuddin.

Manakala SK Taman Alam Megah yang muncul naib juara, membawa pulang RM3,000 serta SK Puchong dan SK Seri Selangor yang menduduki tempat ketiga dan keempat masing-masing menerima RM2,000 dan RM1,000 berserta pingat dan sijil.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Kejohanan, Datuk Emran Kadir berkata, kejohanan Piala Raja Muda Selangor itu lebih hebat musim depan apabila akan melibatkan semua daerah negeri Selangor.

"Tahun ini kita masih kekalkan terbuka kepada sekolah rendah di dalam daerah Pendidikan Petaling Perdana dan Petaling Utama."

Tahun depan saya telah mendapatkan kebenaran untuk anjurkan kejohanan ini di seluruh Selangor. Maka ia akan lebih hebat dan akan dimulakan lebih awal.

"Jadi bilangan sekolah tahun depan lebih banyak. Saya juga berterima kasih kepada KPS yang telah menyumbang tajaan untuk penganjuran program ini," katanya selepas perlawanan akhir tersebut.

Piala Raja Muda Selangor merupakan kejuaraan bola sepak Bawah 12 tahun dan mendapat tajaan KPS Berhad.

Pertandingan edisi ke-34 itu melibatkan lebih 500 pemain dan berlangsung secara liga dengan dua pasukan terbaik daripada setiap kumpulan layak ke pusingan kalah mati (16 terbaik) sebelum ke suku akhir, separuh akhir dan akhir.

Artikel Berkaitan:

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok