ALLAH Maha Baik! Pelajar 11A SPM 2022 terima lebih 10 tawaran sambung belajar dan biasiswa
Lebih 10 tawaran melanjutkan pelajaran termasuk biasiswa diterima pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 dari Sekolah Menengah Ugama (Arab) Darul Iman, Beris Lalang, Bachok, Kelantan, Muhammad Shahril Saidi.
Muhammad Shahril, 18, yang kini dikenali seluruh negara kerana kesetiaannya menjaga ibunya, Tuan Faridah Tuan Ismail yang sakit dan baru sahaja meninggal dunia berkata, tawaran diterimanya begitu mengejutkan namun dia perlu berfikir terlebih dahulu sebelum membuat keputusan.
“Saya perlu melakukan solat istikharah dan berbincang dengan ahli keluarga terlebih dahulu sebelum memilih untuk menyambung pelajaran di mana-mana pusat pengajian.
“Setakat ini, saya mahu meneruskan pengajian di Maahad Yaakubiah Kampung Nipah, Bachok, Kelantan untuk menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) bagi mencapai cita-cita menjadi seorang pensyarah,” ujarnya.
Menurut anak bongsu daripada enam adik beradik ini, dia akan membuat perancangan dengan teliti dalam memilih lokasi pengajian kelak.
“Tawaran pengajian dan biasiswa yang diterima daripada pelbagai agensi memang banyak dan saya ucapkan seribu penghargaan serta ribuan terima kasih kepada semua.
“Mohon doakan saya dan keluarga serta kita semua berjaya dunia akhirat dan menjadi pemimpin Islam yang benar-benar membawa kebenaran,” ujarnya yang turut menerima tawaran biasiswa daripada Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan beberapa bank lain.
Sinar Bestari sebelum ini menyiarkan beberapa artikel berkisar kehidupan Muhammad Shahril yang kini tinggal di Kampung Kandis, Bachok, Kelantan.
Kisah kejayaannya merangkul 11A dalam SPM 2022; kesetiaannya menjaga ibu, Tuan Faridah yang terlantar sakit saraf sejak empat tahun lalu hinggalah ibunya meninggal dunia pada Sabtu lalu telah menarik perhatian orang ramai untuk mengikuti sisi ‘baik’ anak muda ini.
Nama Muhammad Shahril sekali lagi menjadi bualan apabila dia sendiri mengimamkan solat jenazah arwah ibunya yang selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Padang Lati, Jelawat, Bachok pada Ahad.
Yang pasti, keperibadian anak muda ini cukup dikagumi yang dilihat sebagai pelajar cemerlang dan anak soleh yang cukup sempurna dalam semua aspek.
Kami di Sinar Bestari sentiasa mendoakan yang terbaik buat Muhammad Shahril dan juga adik beradiknya yang lain.