Program Skills For Life perkasa kemahiran belia, yuran RM10 hingga RM30 sahaja!
Dalam era hari ini, memiliki kemahiran khusus menjadi nilai tambah kebolehpasaran di alam pekerjaan terutama melibatkan golongan belia.
Dalam era hari ini, memiliki kemahiran khusus menjadi nilai tambah kebolehpasaran di alam pekerjaan terutama melibatkan golongan belia.
Menyedari kepentingan tersebut, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah menganjurkan program Skills For Life yang menawarkan latihan kemahiran asas kepada komuniti khususnya golongan belia sekali gus mengasah skil tambahan mereka.
Ia dilaksanakan melalui Institut Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS) dan turut menjadi platform membantu juga sebagai sebahagian usaha serta inisiatif kementerian dalam menangani peningkatan kos sara hidup rakyat.
Menterinya, Hannah Yeoh berkata, program itu akan diadakan pada hujung minggu sepanjang Februari dan Mac ini, menggunakan kaedah Do It Yourself.
“Program Skills For Life menawarkan latihan kemahiran asas kepada komuniti, khususnya golongan belia B40, M40, belia berisiko dan belia minoriti serta belia yang sudah bekerja berusia maksimum 40 tahun.
“Sebanyak 22 aktiviti dirancang oleh 22 ILKBS terpilih di seluruh negara yang merangkumi antaranya senggaraan elektrik asas; pembaikan asas kenderaan dan penyaman udara; menggunting rambut; penyediaan masakan tradisional; menjahit pakaian dan fotografi telefon pintar,” katanya selepas majlis perasmian program Skills For Life 2023 di Menara KBS, Putrajaya, baru-baru ini.
Hadir sama, Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abdul Halim.
Hannah memberitahu, belia yang berhasrat mengikuti program itu boleh mendapatkan maklumat berkaitan melalui media sosial Facebook KBS dan setiap kurus yang diambil akan dikenakan bayaran antara RM10 hingga RM30.
Beliau berkata, pada masa depan, KBS merancang menganjurkan latihan kemahiran bahasa kepada belia yang berminat.
“Langkah seterusnya adalah untuk kita bagi belia menguasai bahasa antaranya bahasa Inggeris, bahasa Melayu, bahasa Mandarin dan bahasa Tamil supaya dapat menambah kemahiran baharu sekiranya belia ini menghadiri temu duga untuk dapatkan pekerjaan atau kenaikan pangkat.
“Kita sedang meneroka langkah itu untuk KBS dan akan melihat tenaga pengajar juga, kita sebenarnya ada banyak cikgu bahasa yang telah bersara hendak memberi sumbangan masa untuk mengajar generasi muda,” katanya.