Ibu pelajar cemerlang 11A SPM 2022 meninggal dunia, warga maya gagal tahan sebak!
“Terus kuat dik! Kami mendoakan arwah ibu ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh.”
Itulah yang dapat Sinar Bestari sampaikan kepada pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022, Sekolah Menengah Ugama (Arab) Darul Iman, Beris Lalang, Bachok, Kelantan, Muhammad Shahril Saidi yang baru sahaja kematian ibu tercinta, Tuan Faridah Tuan Ismail, 53, pada Sabtu.
Penghulu Mukim Kandis, Bachok, Kelantan, Razali Yasod mengesahkan kejadian dan berkata, dia mengetahui berita kematian ibu pelajar itu sekitar pukul 8 malam, hari Sabtu.
Katanya, dia terus ke rumah Muhammad Shahril dan setakat ini, lebih 30 ahli keluarga dan orang ramai hadir ke rumah pelajar berkenaan di Kampung Kandis, Bachok, Kelantan.
“Jenazah akan disolatkan di sini sebelum dikebumikan di Kampung Padang Lati, iaitu kampung asal arwah pagi ini.
“Ketika ini saya masih berada di rumah Muhammad Shahril untuk membantu dengan ahli keluarga lain,” ujarnya.
Sementara itu, Pengetua Sekolah Menengah Ugama (Arab) Darul Iman, Noor Ruziana Ismail telah mengesahkan perkara tersebut.
Beliau mengetahui berita kematian ibu pelajar cemerlang itu daripada guru yang berada di rumah Muhammad Shahril.
"Difahamkan jenazah akan disolatkan di Masjid Pondok Moden pada pukul 10 pagi Ahad," ujarnya seperti dipetik portal tempatan.
Sebelum itu, Sinar Bestari pada Jumaat menyiarkan kisah kejayaan Muhammad Shahril yang meraih 11A dalam SPM 2022.
Merupakan pelajar cemerlang dari sekolah berkenaan, Muhammad Shahril mula dikenali ramai kerana dia seorang anak yang taat dan sanggup berkorban apa sahaja demi menjaga ibu yang terlantar sakit saraf sejak empat tahun lalu.
“Saya dan adik beradik lain mengambil tanggungjawab menjaga ibu sejak dia sakit.
“Rutin setiap pagi saya adalah memandikan ibu sebelum pergi ke sekolah dan melakukan tugas sama apabila pulang dari sekolah.
“Tiada apa yang mengubah rutin hidup saya walaupun ketika ibu sedang sakit kerana saya memang suka berada di rumah menemaninya,” ujar anak bongsu daripada enam beradik ini.