Dr Norisah Suhaili (enam dari kanan) bersama pemenang TEY 2022/2023 di Hotel Concorde, Shah Alam, Selangor baru-baru ini.
Dr Norisah Suhaili (enam dari kanan) bersama pemenang TEY 2022/2023 di Hotel Concorde, Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Inovasi Hexa-Hold MTD juara TEY

NADZARUL AMIR ZAINAL AZAM
24 Feb 2023 02:21pm
A
A
A

Maktab Tentera Diraja (MTD) dinobatkan sebagai pemenang Toyota Eco Youth (TEY) edisi 2022/2023 yang diadakan di Hotel Concorde, Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Inovasi yang diberi nama Hexa-Hold merupakan sistem heksabrick diperbuat daripada High Density Poly Ethylene (HDPE) kitar semula dan plastik low density polyethylene (LDPE) bertujuan mengurangkan atau mencegah hakisan tanah serta pergerakan tanah.

Program TEY dengan tema Championing Mobility merupakan usaha berterusan UMW Toyota Motor (UMWT) memupuk kesedaran dan rasa tanggungjawab kepada masyarakat serta planet berkenaan pemeliharaan alam sekitar dalam kalangan generasi muda.

Bagi program kali ini, UMWT bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan (KPM) untuk menarik penyertaan dan melancarkan pertandingan melibatkan pelajar sekolah menengah.

Presiden UMW Toyota Motor, Datuk Ravindran K berkata, syarikat itu sedang berusaha ke arah mencapai pelepasan karbon dioksida (CO2) sifar menjelang 2050 dan TEY merupakan contoh program terbaik untuk mencapai matlamat terbabit.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua 16 pasukan atas kerja keras dan tahniah kepada pemenang Toyota Eco Youth 2022/2023.

“Mereka telah menunjukkan golongan muda mampu menghasilkan sesuatu yang dapat memberikan manfaat kepada masyarakat malah melestarikan alam sekitar jika diberi peluang,” katanya pada majlis penutup TEY 2022/2023 baru-baru ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pendidikan Malaysia (Sektor Operasi Sekolah), Dr Norisah Suhaili.

Artikel Berkaitan:

Sebanyak 16 pasukan di seluruh negara mengambil bahagian dalam program itu untuk merebut hadiah wang tunai sehingga RM71,500.

Lima buah sekolah terbaik berjaya menarik perhatian para juri pada TEY 2022/2023.

Dalam pada itu, Norisah memberitahu, UMWT telah mengambil inisiatif memupuk dan membentuk belia negara ini peka kepada pemeliharaan alam sekitar.

“Saya ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada UMWT atas komitmen selama 21 tahun.

“Syarikat ini bukan sahaja memupuk kesedaran tetapi mengambil langkah dan usaha dalam melestarikan alam sekitar,” katanya.

Juara TEY 2022/2023, pasukan MTD membawa pulang RM20,000, tempat kedua pula dimiliki Kolej Islam Sultan Alam Shah, Klang, Selangor, (RM15,000) manakala tempat ketiga jatuh kepada pasukan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kemumin, Kota Bharu, Kelantan, (RM10,000).

Pasukan SMK Taman Bunga Raya 1, Selangor, pula meraih tempat keempat menerima RM7,000 dan Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Rawang, Selangor, tempat kelima (RM5,000).

Guru paling banyak memberi sokongan dan Best Community Engagement masing-masing menerima RM2,000.

Berikut merupakan lima senarai pasukan terbaik

1) Maktab Tentera Diraja (MTD) - Hexa-Hold

2) Kolej Islam Sultan Alam Shah (Team Synergy) - Expand-a-bag

3) SMK Kemumin - Terra Savior

4) SMK Taman Bunga Raya 1 - TWEPS

5) SBP Integrasi Rawang - In-FleCT

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok