KIBLAH agih 105 bakul kasih Ramadan
Kumpulan Pendidikan KIBLAH dipilih Yayasan Antarabangsa Al Madinah untuk mengagihkan 105 bakul kasih Ramadan kepada golongan kurang berkemampuan sekitar Dengkil, Selangor, baru-baru ini.
Ketua Pegawai Operasi, Kumpulan Pendidikan KIBLAH, Dr Mohd Sahrin Ab Rahman berkata, sumbangan bakul kasih Ramadan berkenaan disalurkan kepada tiga kampung berdekatan iaitu Jenderam Hulu, Jenderam Hilir dan Kampung Sungai Buah.
“Pemberian bakul kasih Ramadan ini untuk meringankan beban masyarakat setempat yang kurang berkemampuan untuk menyambut bulan puasa dalam beberapa hari lagi.
“KIBLAH juga sangat bersyukur kerana diberikan amanah dan kepercayaan untuk menyalurkan bantuan kepada penduduk kampung,” katanya ketika ditemui Sinar Bestari di Dewan Besar Sekolah KIBLAH, Komplek Pendidikan YAKIN-KIBLAH Jenderam Hulu, Sepang, Selangor baru-baru ini.
Hadir sama, Pengurus Besar Yayasan Antarabangsa Al Madinah, Datuk Dr Baharudin A Rahman dan wakil Duta Kerajaan Negara Kuwait, Syeikh Mudhhi Alfadhli.
Dalam pada itu, Baharudin memberitahu, sumbangan tersebut dari penyumbang-penyumbang Kuwait yang disalurkan melalui Pejabat Kedutaan negara Kuwait di Kuala Lumpur.
“Kumpulan Pendidikan KIBLAH merupakan destinasi pertama sumbangan pada tahun ini untuk memastikan persediaan umat Islam yang kurang berkemampuan dapat menjalani ibadah puasa dengan baik.
“Kita memilih KIBLAH kerana ia merupakan sebuah sekolah swasta tidak berasaskan keuntungan malah antara yang berjaya di negeri Selangor sebagai sebuah entiti pendidikan setempat dengan wujudnya Sekolah Menengah, Maahad Tahfiz KIBLAH dan Kolej Profesional Kemahiran KIBLAH.
“Bahkan, tahun ini KIBLAH telah menyalurkan bantuan biasiswa dan dermasiswa kepada pelajar yatim, fakir miskin dan golongan B40 bagi sesi persekolahan 2023/2024,” ujarnya.
Pada kebiasaannya, beliau menjelaskan, sumbangan bakul kasih Ramadan itu disalurkan di setiap negeri seluruh negara malah termasuk negara-negara jiran seperti Thailand dan Indonesia.
Baharudin memberitahu, jika terdapat lebihan sumbangan daripada dermawan-dermawan Kuwait tersebut, negeri-negeri berkenaan akan menerima sumbangan sehingga dua kali.
Ditubuhkan pada 2009, Yayasan Antarabangsa Al Madinah merupakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bergiat aktif menjalankan aktiviti kemasyarakatan seperti bantuan pendidikan, bantuan golongan fakir miskin, pembinaan masjid, sekolah dan telaga air.
Pada 2022, Yayasan Antarabangsa Al Madinah turut menyalurkan bantuan kemanusian sebanyak RM10 juta kepada golongan memerlukan termasuk biasiswa pendidikan, membina telaga air di negara-negara ketiga dan bantuan makanan.