Lambang kesatuan hati pelajar

Hampir 10,000 biji getah digunakan untuk menyiapkan Jalur Gemilang, logo Malaysia Madani

QURRATUL AINA QUDDUSQURRATUL AINA QUDDUS
17 Sep 2025 11:30am

Berkibarnya Jalur Gemilang di semua kawasan menjadi simbol kebanggaan rakyat Malaysia.

Apabila dihasilkan dalam bentuk lebih besar, ia membawa makna lebih mendalam apabila dilaksanakan di kawasan sekolah.

Ia bukan sekadar hasil kreativiti tetapi lambang semangat patriotisme yang dipupuk bersama pelajar.

Bagi Guru Kanan Kemanusiaan, Mohd Alif Firdaus Ismail, setiap usaha mengumpul bahan dan menyusunnya melambangkan kesatuan hati pelajar serta guru dalam menjulang nama negara tercinta.

“Saya akui, projek ini dapat menyemai semangat patriotisme kerana ia berjaya menghubungkan pelajar dengan warisan negara.

“Getah pernah menjadi komoditi penting yang memacu ekonomi Tanah Melayu suatu ketika dahulu. Murid bukan sahaja menggunakan biji getah untuk kreativiti, tetapi untuk menghargai sejarah dan peranan generasi terdahulu.

“Secara tidak langsung, ia memberi kesedaran bahawa kemajuan hari ini lahir daripada usaha dan pengorbanan masa lalu, seterusnya menyalakan semangat cintakan tanah air menjelang Hari Malaysia,” katanya juga sebagai Penyelaras Sambutan Bulan Kebangsaan SMK Sungkai 2025 kepada Sinar Bestari.

Mohd Alif Firdaus, 38, berkata, idea Jalur Gemilang gergasi ini tercetus ketika seorang guru Pendidikan Moral membantu ibunya mengutip susu getah.

Artikel Berkaitan:

Pihak sekolah bersetuju untuk mengangkat tanaman itu sebagai medium seni bagi menyemarakkan Sambutan Bulan Kebangsaan di SMK Sungkai, Perak.

12 hari diperlukan

Dalam tempoh 12 hari, Mohd Alif Firdaus berjaya menyiapkan sebuah Jalur Gemilang gergasi yang cukup mengagumkan.

Dengan semangat kerjasama, kesabaran dan kreativiti, pelajar bersama guru-guru berganding bahu mengumpulkan biji getah sekali gus menyusun serta membentuk bendera kebanggaan negara ini.

Tambah Mohd Alif Firdaus, proses pengumpulan biji getah dilakukan hanya enam hari oleh murid bersama ibu bapa masing-masing.

“Lagi enam hari mereka melakukan proses melukis, menyusun, melekat dan mewarna. Proses ini agak lama, jadi kami guru-guru Panitia Pendidikan Moral juga turun padang untuk membantu.

“Secara tidak langsung, hubungan antara pelajar dan guru itu lebih akrab,” katanya lagi.

Apabila ditanya mengenai cabaran sepanjang melakukan projek Jalur Gemilang gergasi ini, Mohd Alif Firdaus memaklumkan bahawa terdapat kesukaran untuk mengumpulkan biji getah dengan kuantiti yang banyak.

Ia disebabkan kekurangan ladang getah di kawasan setempat kerana belum musimnya. “Jadi, inisiatif pelajar sendiri adalah mereka terpaksa mencari biji getah sehingga ke ladang luar kawasan Sungkai, Perak.

“Mereka juga berpenat lelah untuk menyediakan Jalur Gemilang gergasi ini dengan hasil titik peluh masing-masing,” katanya.

Sepanjang bulan kebangsaan, Hari Malaysia

Secara tidak langsung, bulan ini terasa lebih meriah apabila sekolah tampil dengan pameran khas sempena Hari Malaysia.

Bukan sekadar mencantikkan suasana sekolah, pameran tersebut sebenarnya menjadi medan untuk pelajar berkongsi rasa bangga mereka sebagai rakyat Malaysia sambil menyemai semangat kebersamaan dengan rakan-rakan.

“Projek ini menjadi pameran sepanjang bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia. Ia dijadikan simbol identiti semangat patriotisme.

“Selain itu, kami juga laksanakan aktiviti teka jumlah biji getah dalam kalangan warga sekolah,” tambahnya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp