
Pelajar Tingkatan 3 hilang sejak Sabtu lalu...'Baliklah Muna Qaisara'
Kehilangan pelajar sekolah bagaikan satu episod yang tiada penghujung.
Terbaharu, seorang pelajar Tingkatan Tiga, Muna Qaisara Muhammad Budiman, 15, dilaporkan hilang selepas tidak berada di asrama sekolahnya di daerah Kuala Terengganu, Terengganu sejak Sabtu lalu.
Difahamkan kali terakhir pelajar itu dilihat adalah dengan berpakaian jubah berwarna merah hati dan tudung krim.
Menurut ibunya, Juliana Johari, 42, pelbagai usaha telah dilakukan bagi mengesan keberadaan Muna Qaisara.
"Orang ramai yang memiliki dashcam (kamera papan pemuka) kereta yang melalui sekitar Serada dirayu membantu mengesan anak saya.
"Kami sekeluarga berharap Muna Qaisara dapat ditemui secepat mungkin dalam keadaan selamat,” katanya.
Sementara itu, Juliana turut melahirkan rasa kesal apabila terdapat sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab menyebarkan maklumat palsu tentang kehilangan anaknya.
"Kata mereka, Muna Qaisara sudah dijumpai sedangkan ia tidak benar. Info ini secara tidak langsung menambah kesedihan kami sekeluarga,” jelasnya.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor mengesahkan telah menerima laporan mengenai kehilangan pelajar terbabit kelmarin.
Katanya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta menghubungi talian 0135714157 atau 0133092947 dan tampil ke mana-mana balai polis segera bagi membantu siasatan.