Seramai 33 kanak-kanak 12 tahun ke bawah menyertai program Klinik Awalan Futsal di Pusat Sukan USIM, Nilai, Negeri Sembilan, baru-baru ini.
Seramai 33 kanak-kanak 12 tahun ke bawah menyertai program Klinik Awalan Futsal di Pusat Sukan USIM, Nilai, Negeri Sembilan, baru-baru ini.

30 kanak-kanak belajar kemahiran asas futsal

NADZARUL AMIR ZAINAL AZAMNADZARUL AMIR ZAINAL AZAM
24 Feb 2023 03:07pm

Futsal merupakan sukan berpasukan yang sering kali dikaitkan dengan bola sepak.

Begitupun, terdapat perbezaan antara sukan bola sepak dan futsal terutama apabila ia dimainkan di gelanggang dengan permukaan lebih keras dan kecil.

Bahkan, sukan futsal memerlukan stamina dan kemahiran kawalan bola yang pantas untuk memastikan keseimbangan pada bahagian pertahanan serta serangan sekali gus merealisasikan taktikal jurulatih.

Bagi memberi pendedahan di peringkat akar umbi mengenai sukan futsal, Pusat Pembangunan Kemahiran Insaniah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah menganjurkan program Klinik Awalan Futsal di Pusat Sukan USIM, Nilai, Negeri Sembilan, baru-baru ini.

Kawalan bola memainkan peranan penting dalam sukan futsal.
Kawalan bola memainkan peranan penting dalam sukan futsal.

Program berkenaan melibatkan seramai 33 kanak-kanak 12 tahun ke bawah sekitar kawasan perumahan Taman Desa Anggerik, Desa Jati, Desa Kasia dan Desa Acacia Nilai, Negeri Sembilan serta Bandar Sri Putra Bangi, Selangor.

Artikel Berkaitan:

Pengarah program, Mohammad Izzuddin Loh berkata, antara objektif utama program tersebut adalah memberi pendedahan kepada para peserta tentang perbezaan sukan bola sepak dan futsal.

“Ia berikutan dua sukan berkenaan agak berbeza dari segi teknikal, kemahiran dan peraturan.

“Justeru, modul-modul yang dirangka jurulatih seperti pendekatan lima teknik asas futsal dan latihan Ball Mastery dapat membuka minda anak-anak ini untuk lebih mengenali sukan futsal,” katanya.

Sebahagian peserta program Klinik Awalan Futsal di Pusat Sukan USIM, Nilai, Negeri Sembilan, baru-baru ini.
Sebahagian peserta program Klinik Awalan Futsal di Pusat Sukan USIM, Nilai, Negeri Sembilan, baru-baru ini.

Mahasiswa tahun dua program Sarjana Muda Bahasa Arab itu memberitahu, para peserta boleh menggunakan ilmu yang dipelajari dalam klinik berkenaan untuk dikembangkan malah berkongsi bersama rakan-rakan di peringkat sekolah.

Tuturnya lagi, mereka juga boleh meningkatkan kemahiran terutama apabila ingin mewakili sekolah mahupun peringkat lebih tinggi.

“Klinik futsal yang julung kali diadakan ini merupakan projek akhir kokurikulum semester untuk mendekati kanak-kanak sekitar kampus.

“Saya sangat berterima kasih kepada sokongan ibu bapa yang bersama-sama menjayakan klinik futsal ini.

“Program ini bukan sahaja dapat mencurahkan ilmu kepada kanak-kanak tetapi membuka peluang mengenali masyarakat setempat,” ujarnya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp