Kredit foto: Pexels
Kredit foto: Pexels

Hala tuju pendidikan pelajar selepas SPM

FIRDAUS HANAFI MOHD ZAINFIRDAUS HANAFI MOHD ZAIN
21 Feb 2023 06:22pm
A
A
A

Selepas peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berakhir, pasti ramai lepasan akan mula merancang apa yang mahu dilakukan mereka pada masa depan.

Mungkin ada yang mahu melanjutkan pelajaran di institut pengajian tinggi (IPT) awam atau swasta di dalam mahupun luar negara.

Untuk itu, hari ini Sinar Bestari ingin berkongsi terutama kepada pelajar-pelajar lepasan SPM beberapa pilihan yang boleh menjadi destinasi pendidikan anda pada masa depan.

Jom baca!

1) STPM/ Tingkatan 6

Antara yang sering menjadi pilihan lepasan SPM adalah menyambung pengajian di peringkat Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

Pengajian peringkat ini juga dikenali sebagai Pengajian Tingkatan Enam yang hanya ditawarkan di sekolah menengah terpilih sahaja. Ia tidak ditawarkan di semua sekolah menengah dalam negara.

Lepasan STPM dan STAM yang berjaya menamatkan peperiksaan terbabit akan terus menyambung pengajian ke peringkat Ijazah Pertama atau Ijazah Sarjana Muda di IPT awam atau swasta dalam atau luar negara.

Artikel Berkaitan:

2) Diploma Universiti/Politeknik

Pengajian peringkat diploma ini merupakan pilihan yang paling banyak dipilih oleh lepasan SPM.

Ia merupakan salah satu program persediaan yang ditawarkan kepada para pelajar sebelum ke ijazah pertama atau Ijazah Sarjana Muda.

Tempoh pengajian diploma kebiasaannya mengambil masa dua tahun setengah hingga ke tiga tahun bergantung kepada aliran atau bidang yang dipilih.

3) Asasi (IPTS/IPTA)

Kepada lepasan SPM, anda mungkin boleh mempertimbangkan untuk menyambung pengajian asasi di IPT awam atau swasta.

Secara amnya, rata-rata IPT awam atau swasta dalam negara mempunyai program asasinya sendiri sebagai laluan untuk menyambung ke peringkat ijazah pertama atau Ijazah Sarjana Muda.

Sekiranya berjaya menamatkan pengjian di peringkat asasi, lazimnya anda akan ditawarkan tempat di IPT awam atau swasta yang sama bagi menyambung pengajian di peringkat ijazah pertama atau Ijazah Sarjana Muda.

4) Matrikulasi (KPM)

Matrikulasi Kementerian Pendidikan (KPM) merupakan pilihan kegemaran lepasan SPM yang merancang untuk menyambung pengajian ijazah pertama atau Ijazah Sarjana Muda.

Program ini diwujudkan KPM sebagai sebuah program persediaan untuk pelajar yang mahu melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah pertama dalam bidang sains, teknologi dan sastera ikhtisas ke IPT dalam dan luar negara.

Terdapat empat pilihan jurusan ditawarkan kepada pelajar di peringkat matrikulasi KPM iaitu sains, kejuruteraan, perakaunan dan perakaunan professional.

5) TVET

Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) merupakan pilihan sesuai dipohon oleh pelajar yang meminati sektor perindustrian.

Skop pendidikan TVET menekankan komponen praktikal, kemahiran psikomotor dan pendedahan kepada latihan di industri.

Antara kementerian atau agensi yang mempunyai institut pengajian TVET adalah Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA).

6) PISMP

Kepada anda yang bercita-cita mahu menjadi guru, Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) adalah pilihan yang tepat untuk anda.

Pelajar akan mengikuti PISMP di Institut Pengajian Guru (IPG) yang ditetapkan oleh KPM dan merangkumi pelbagai bidang pengkhususan di sekolah rendah.

Untuk program ini, anda akan melalui tempoh pengajian selama lima tahun.

7) A-Level

A-Level merupakan salah satu program prauniversiti yang ditawarkan di negara ini. Program ini dibuat berdasarkan sistem pendidikan di United Kingdom.

Ia dikendalikan oleh Cambridge Assessment International Education (CAIE) dengan tempoh pengajian antara 12 hingga 24 bulan.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok