Kepentingan penggunaan suara secara efektif
Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) telah menetapkan 13 Februari sebagai Hari Radio Sedunia.
Begitupun, bergelar penyampai radio bukan satu perkara yang mudah tetapi terdapat beberapa kriteria dan kemahiran perlu dikuasai individu mencapai matlamat serta misi ataupun sasaran sesebuah stesen radio.
Secara umum, penyampai radio perlu memiliki kefahaman dan pengetahuan yang tinggi bagi memastikan penggunaan suara secara efektif serta berkesan.
Ia berikutan radio merupakan satu medium yang menggunakan deria pendengaran untuk memikat hati dan halwa telinga pendengar dalam menyampaikan perkara bermanfaat kepada masyarakat.
Ketua Program Komunikasi Media Pusat Kajian Media dan Komunikasi, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Hasrul Hashim berkongsi skil bergelar penyampai radio berjaya.
1. Pengetahuan
Sebagai penyampai radio aspek paling utama adalah memiliki pengetahuan. Seseorang penyampai perlu mengetahui mengenai isu semasa yang berlaku di dalam dan luar negara untuk memastikan mereka sentiasa peka dengan situasi serta isu terkini.
Selain itu, ia tidak terbatas kepada pengetahuan isu semasa sahaja malah ilmu-ilmu lain juga penting termasuk menjaga sensitiviti serta mengelak kontroversi.
2. Kawalan suara
Penyampai radio perlu bijak untuk mengawal suara dan intonasi yang bersesuaian dengan topik serta rancangan yang dikendalikan mereka. Ia berikutan kemahiran berkenaan dapat menterjemah 'mood' kepada para pendengar.
3. Petah dan spontan
Kemahiran ini antara yang penting dalam memastikan seseorang penyampai radio boleh mengawal situasi di luar jangkaan ketika sedang mengendalikan rancangan atau tetamu di dalam konti.
4. Kemahiran teknikal
Antara aspek penting bergelar penyampai radio adalah mengetahui penggunaan perisian audio dan memiliki kecekapan peralatan di dalam konti. Apabila memiliki kemahiran ini, mereka mampu mengendalikan program-program dengan lancar.
Ia juga dapat mengelak dan mengurangkan kesilapan berlaku terutama apabila program dijalankan secara langsung.
5. Personaliti
Personaliti menarik merupakan satu bonus bagi penyampai radio kerana dapat menarik minat pendengar untuk 'terikat' dengan program dikendalikan tersebut.