Cikgu Noor Hanida
Cikgu Noor Hanida

Menari bukan sekadar hiburan

AZLEENDA SAHALUDIN
07 Feb 2023 03:25pm
A
A
A

“Menari bukan sekadar hiburan, tetapi untuk perjuangkan budaya tradisi agar tidak ditelan zaman.”

Cikgu Noor Hanida
Cikgu Noor Hanida

Itulah kata-kata Cikgu Noor Hanida Che Ismail apabila ditanya tentang penglibatannya sebagai guru yang melatih pelajar Kumpulan Kesenian Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Sungai Besi Indah (KETSIDA).

Guru subjek Sains dan Bahasa Inggeris itu memberitahu, kegigihannya melatih pelajar dalam seni tari hanyalah untuk mendidik mereka agar mencintai dan menghargai seni tradisional serta budaya masyarakat berbilang kaum.

Tambahnya, penerapan warisan budaya tradisional hendaklah bermula daripada peringkat rendah agar ia tidak diancam kepupusan dan akhirnya dilupakan.

Justeru, sebagai guru merangkap jurulatih tarian bagi KETSIDA, menjadi kewajipan untuk beliau mendidik murid termasuklah ibu bapa bahawa menari bukan sekadar hiburan.

Pada masa yang sama, ia juga dilihat sebagai usaha memperjuangkan budaya supaya lebih dikenali seluruh negara.

Bercerita lebih lanjut mengenai penglibatannya di dalam seni tari, Cikgu Noor Hanida memberitahu, ia bermula pada 2014 apabila dipertanggungjawabkan untuk mengendali persembahan di sekolah.

Artikel Berkaitan:

Melihat kepada kebolehannya serta tarikan yang dibawa dalam persembahan tarian tradisional, ia telah mendorong kepada pertubuhan KETSIDA dengan penglibatan murid seramai 12 orang dari Tahun Empat hingga Enam.

Tidak hanya sekadar sebuah kelab kokurikulum di sekolah, KETSIDA telah berjaya menyertai pelbagai pertandingan serta turut melakukan persembahan pada majlis-majlis besar antaranya Majlis Anugerah Sukan anjuran Kementerian Pendidikan (KPM) 2018 dan Majlis Penutupan Asian School Games kali ke-10 pada tahun yang sama.

Tambah Cikgu Noor Hanida lagi, KETSIDA membuka peluang kepada murid yang berminat dalam seni tari tetapi perlu menjalani saringan kemasukan terlebih dahulu.

“Saya akan mengadakan temu duga dan uji bakat murid pada awal tahun terutamanya mereka yang berada di Tahun Empat dengan melihat beberapa perkara.

“Antaranya kesungguhan dan minat murid-murid untuk menyertai kelab seni tari ini dan ia penting untuk pelapis baharu,” tuturnya.

Sebelum mengakhiri perbualan, Cikgu Noor Hanida turut berkongsikan tip kepada murid serta pelajar yang berminat dan ingin menyertai kelab seni tarian.

Minat mendalam

Walaupun tiada asas dan tidak pandai menari, ia boleh diasah sekiranya mempunyai minat yang mendalam. Ini kerana minat akan mendorong kepada kegigihan mereka untuk belajar menjadi penari dan lakukan yang terbaik.Buang rasa malu

Bagi pelajar yang ingin menyertai seni tarian, perkara utama yang perlu diatasi adalah sifat malu. Mereka perlu tampil lebih yakin dan berani terutamanya ketika membuat persembahan di khalayak ramai. Murid serta pelajar juga perlu menunjukkan kebolehan serta bakat sekiranya ingin terus berjaya dalam seni tarian. Sentiasa bersedia

Murid dan pelajar yang menyertai tarian perlu sentiasa bersiap sedia dan pandai membahagikan waktu antara pelajaran dan latihan. Mereka perlu memberi komitmen yang tinggi kepada setiap latihan yang diberikan guru.

Jangan hanya

sekadar menari

Pelajar perlu tahu setiap tarian yang dipersembahkan bersama muzik latar mempunyai maksud dan makna yang tersendiri. Oleh itu, mereka perlu menghayati muzik yang dimainkan supaya dapat mempamerkan emosi yang bersesuaian.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok