Seni tari, naratif tubuh badan
Ilmu mampu pertahan karya seni atas pentas
Estetik pergerakan tarian tradisional Melayu lahir daripada seni pertahanan diri, silat dan mungkin ramai tidak mengetahui penari yang mendalami seni tari tradisional Melayu perlu memahami dan mempelajari pergerakan asas silat.
Pensyarah Fakulti Tari, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), Mohd Yunus Aliallah @ Ismail berkata, seni tari bukan hiburan semata-mata tetapi perlu mendalami serta memahami sejarah, teknik, pergerakan dan lain-lain.
"Apabila seseorang ingin menceburi bidang tari, memiliki ilmu pengetahuan merupakan aset penting kepada mereka. Ia secara tidak langsung boleh mempertahankan hasil karya seni di atas pentas terutama apabila terlibat dalam persembahan.
"Sebagai contoh, setiap pergerakan seni tari mempunyai maksud dan sejarah tersendiri. Mengapa gerakan tersebut dicipta, perlu ketahui konteks budaya dan sejarah serta hubung kait dengan masyarakat. Semuanya ada alasan tersendiri," kata lelaki kelahiran Batu Pahat, Johor itu.
Mohd Yunus yang berusia 38 tahun menjelaskan, terdapat segelintir yang skeptikal dan hanya melihat dari luaran sahaja profesion seni tari.
Begitupun, dia berkata, mereka yang menceburi atau ingin 'terjun' dalam bidang berkenaan umpama seorang atlet kerana perlu memiliki fizikal dan mental kuat serta menjalani latihan berterusan untuk memantapkan diri.
"Ketika menuntut di ASWARA, saya menjalani latihan selama lapan jam setiap hari. Sebagai penari, bukan sahaja pergerakan perlu sempurna tetapi penjagaan kesihatan amat penting kerana bidang ini menggunakan tubuh badan.
"Salah satu contoh adalah tarian klasik Bharatanatyam, saya akan menguasai latihan hentak kaki, postur badan, ekspresi muka, lenggok tangan dan bermacam-macam lagi. Bagi tarian Cina pula, pergerakan dan kawalan nafas amat penting," ujarnya.
Peluang pengajian
Menyentuh mengenai golongan belia yang ingin menceburi bidang tari, Mohd Yunus memberitahu, mereka perlu memiliki fikiran terbuka.
Katanya, bidang ini tidak terhad menjadi penari tetapi terdapat banyak cabang yang boleh diikuti.
"Bakat mereka boleh disalurkan mengikut kemampuan dan kepakaran masing-masing.
"Mereka boleh menjadi pakar kontemporari, aktivis solo, koreografer, penyelidik, pensyarah dan banyak lagi. Bahkan, terdapat banyak institut pengajian tinggi (IPT) yang menawarkan bidang ini termasuk ASWARA, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Malaya (UM) dan lain-lain," ujarnya.
Restu ibu bapa
"Selama dua tahun, saya terpaksa menipu bapa mengatakan mengikuti kelas komputer walhal menyertai rakan seni budaya Batu Pahat, Johor ketika berusia 16 tahun untuk mengejar impian sebagai penari.
"Bagaimanapun, rahsia terbongkar apabila saya ingin melanjutkan pengajian di Akademi Seni Kebangsaan (ASK) yang kini dikenali sebagai Aswara malah tindakan tersebut mengundang kemarahan bapa," katanya yang pernah terlibat dalam teater muzikal Puteri Gunung Ledang the Musical dan P.Ramlee the Musical.
Pada awal pembabitannya dalam dunia tari, Mohd Yunus menjelaskan, bapanya yang merupakan seorang askar sukar menerima anak lelakinya ingin menceburi bidang tarian.
Ujarnya lagi, konflik berkenaan merupakan antara cabaran yang perlu ditempuhi kerana doa restu ibu bapa amat penting dalam perjalanan karier.
"Selepas menggondol beberapa anugerah penting ketika pengajian, bapa mula lembut hati dan membenarkan saya menjadikan bidang seni tari sebagai profesion.
"Selain itu, pengkhususan pengajian saya merupakan tarian klasik Bharatanatyam sehingga ada yang bertanya mengapa memilih tarian tersebut kerana terdapat banyak tarian lain. Saya sebagai penari mempunyai minat berdasarkan bentuk tarian malah melihat ia sangat unik dan berbeza berbanding tarian-tarian lain di dunia.
"Saya mengambil masa selama enam tahun untuk menguasai tarian klasik berkenaan. Begitupun, ia bukan sesuatu yang mudah dilakukan kerana berdepan persepsi orang yang bimbang pegangan saya sebagai Muslim terjejas," katanya.
Mohd Yunus yang bertindak sebagai koreografer dan pengarah artistik produksi Main Zapin pada tahun 2017 menegaskan, dia sentiasa menjaga batasan sebagai seorang Muslim.
Bahkan, dia memberitahu, ketika melanjutkan pengajian tarian klasik Bharatanatyam, tenaga pengajar akan memperuntukkan masa untuk menunaikan solat.
"Sebagai rakyat negara ini, kesedaran dan sikap hormat-menghormati mengenai kepercayaan agama merupakan sesuatu yang amat indah," katanya.
Pengalaman manis
Mohd Yunus memberitahu, antara momen manis adalah terpilih sebagai penari bersama Shobana Jeyasingh Dance Company (SJDC) di London, United Kingdom selama sebulan pada 2013.
"Saya akan mengembara sekitar kota London mempersembahkan tarian kepada khalayak umum. Pengalaman dan peluang bekerjasama bersama penari-penari antarabangsa sesuatu yang tidak dapat dilupakan sepanjang bergelar penari," tuturnya.
Selain itu, peserta separuh akhir So You Think You Can Dance: Malaysia musim pertama itu menambah, dia berasa sangat kerdil apabila menyertai rancangan realiti tersebut.
"Selepas menamatkan diploma, dengan berbekalkan ilmu tarian tradisional saya memasuki pertandingan berkenaan. Saya jadi kejutan budaya apabila menyedari peserta-peserta lain sangat hebat dengan pelbagai tarian termasuk hip-hop, latin, jazz, kontemporari dan lain-lain.
"Pengalaman selama tiga bulan membuka peluang kepada saya untuk belajar daripada insan-insan berkemahiran malah para juri yang merupakan ikon-ikon bidang tari membakar semangat membentuk jati diri sehingga berjaya dalam bidang ini," katanya lagi.
Dalam pada itu, dia berkata, momen paling tidak boleh dilupakan sepanjang terlibat dalam bidang tari adalah persembahan graduasi Arengetram pada tahun 2011 yang sangat mencabar kerana perlu menari di atas pentas selama satu hingga dua jam ditemani muzik secara langsung.
Pencapaian
Anugerah Most Promising Artist The BOH Cameronian Award (2010)
Anugerah Selangor Young Talent Award, SEYTA daripada Anugerah Khas Juri Tokoh Seniman Muda (2011)
Anugerah Best Choreographer in a Mixed-Bill bagi karya Jarum Berseri (2015)
Best Choreographer in a Full-Length bagi karya Crossing Borders in Bharatanatyam (2015)
Top 10 New Generation Malaysian Cultural Dancers oleh RHA Media (2017).
Koreografer konsert License To Thrill, a Band Concert anjuran Lime Light Entertainment di Istana Budaya (2014)
Produksi dan persembahan peringkat antarabangsa Legend: The Journey Begins di Singapura (2009), Freedom Boredom sempena Bangkok Fringed Festival Bangkok, Thailand (2009) dan International Cultural Exchange Program (Modern Dance) anjuran The John F. Kennedy Center di New York dan Philadephia (2009).