Kredit foto: Maophotostocker/123RF
Kredit foto: Maophotostocker/123RF

Cikgu Norhailmi kongsi 14 idea persembahan sempena Hari Guru minggu depan

ROSHLAWATY MD RAIEHROSHLAWATY MD RAIEH
08 May 2023 12:54pm

16 Mei merupakan tarikh keramat yang begitu sinonim dengan insan yang bergelar guru.

Ini kerana pada tarikh bermakna ini, para guru diberi penghormatan khas bagi menghargai segala jasa dan pengorbanan yang telah dilakukan mereka dalam mendidik anak bangsa.

Tahun ini, Hari Guru yang bakal disambut pada Selasa telah memilih ‘Guru Insani Pemangkin Generasi Madani’ sebagai tema bagi sambutan tersebut.

Tema yang memfokuskan kepada ‘Kesediaan guru mendukung aspirasi Falsafah Pendidikan Guru’ itu memberi penekanan kepada tiga perkara iaitu Jati Diri dan Kenegaraan; Roh dan Jiwa Guru serta Pengetahuan dan Kemahiran.

Sempena Hari Guru akan datang, Sinar Bestari ingin berkongsi beberapa idea persembahan sebagai panduan kepada guru dan para pelajar yang mungkin kekeringan idea untuk menyenaraikan aktiviti bakal dilakukan nanti.

Idea persembahan pada peringkat sekolah itu adalah hasil perkongsian Guru Cemerlang Sains, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jerlun, Kedah, Cikgu Norhailmi Abdul Mutalib menerusi blognya baru-baru ini.

Berikut idea Cikgu Norhailmi, persembahan yang sesuai dilakukan guru dan pelajar bersempena Hari Guru tidak lama lagi.

Bagaimanapun perlu diingatkan, penganjuran aktiviti yang dikongsi ini bergantung kepada sekolah masing-masing memandangkan ketika ini negara sedang berdepan dengan fenomena bahang cuaca panas yang melampau.

Artikel Berkaitan:

1) Tarian tradisional

Acara tarian sememangnya tidak dapat dielakkan setiap kali tibanya Hari Guru. Justeru, sekolah disarankan mempelbagaikan jenis tarian tradisional yang ada di negara ini seperti Joget, Zapin dan Inang. Boleh juga cari kelainan dengan mencuba tarian tradisional daripada masyarakat India, Cina dan Borneo seperti Iban (Ngajat) dan Kadazandusun (Sumazau).

2) Tarian moden

Oleh kerana arus kemodenan melanda anak muda kita, maka tarian moden seperti Hip Hop, K-Pop, Breakdance dan sebagainya boleh dijadikan persembahan menarik semasa Hari Guru. Tiada masalah besar berkaitan dengan tarian ini, selagi tingkah lakunya tidak keterlaluan, masih dalam keadaan sopan dan mengikut nilai serta adab ketimuran.

3) Drama pementasan

Drama sebegini juga antara persembahan menarik untuk ditonton semasa Hari Guru. Ia menjadi lebih menarik jika drama yang dipentaskan mempunyai unsur-unsur tema berkaitan pengorbanan guru.

4) Drama video

Persembahan ini adalah konsep baharu dan segar serta ia lebih dekat dengan pelajar kerana majoritinya sukakan kepada persembahan baharu.

5) Puisi

Aktiviti berpuisi juga boleh memberikan persembahan menarik sempena Hari Guru di sekolah masing-masing. Apatah lagi jika puisi yang puitis penuh bermakna itu dilantunkan oleh mereka yang pakar dalam bidangnya.

6) Puisi dan lagu

Persembahan puisi dan lagu ada sedikit kelainan berbanding persembahan puisi. Persembahan ini menggunakan puisi tersebut sebagai lagu yang akan didendangkan. Pemuisi akan membacakan puisi dan seterusnya akan dilagukan diiringi muzik latar. Muzik latar boleh diiringi ahli muzik sekolah dengan bantuan beberapa alat muzik seperti gitar dan drum.

7) Nyanyian

Acara nyanyian juga merupakan acara yang sentiasa menjadi keutamaan semasa Hari Guru. Selain memilih untuk menyanyi solo, peserta juga boleh menyanyi secara duet atau berkumpulan.

8) Nasyid

Persembahan nasyid juga agak menarik untuk diadakan 16 Mei nanti. Guru atau pelajar boleh membentuk kumpulan nasyid dan membuat persembahan menarik ketika Hari Guru berlangsung.

9) Live Band

Persembahan Live Band mempunyai aura tersendiri jika dapat diadakan semasa Hari Guru. Bukan senang untuk mencari pelajar yang pandai bermain alat muzik dan lengkap satu kumpulan sekali dengan penyanyi handal. Namun jika sekolah anda mempunyai kumpulan seperti ini, maka jangan was-was untuk menggunakan khidmat mereka bagi persembahan Hari Guru. Pasti tak rugi!

10) Persembahan alat muzik

Jika mahukan sedikit kelainan semasa Hari Guru, sekolah boleh mengadakan persembahan alat muzik seperti gamelan, angklung, ukulele dan lain-lain sebagai kelainan pada sambutan kali ini.

11) Flash Mob

Persembahan ini juga agak menarik! Flash Mob adalah persembahan jalanan yang tiba-tiba berlaku di lokasi tertentu tanpa ada rancangan yang diketahui orang yang tidak terlibat. Cikgu boleh rancang secara rahsia dengan sekumpulan pelajar yang akan terlibat dan jalankan semasa berlangsungnya sambutan Hari Guru. Kelihatan seperti spontan tetapi penuh dengan perancangan. Boleh diadakan dalam bentuk tarian, drama ataupun arca bisu.

12) Choral Speaking

Choral Speaking adalah persembahan yang mampu memukau penonton jika dilakukan dengan baik. Pastikan bahasa yang digunakan adalah mudah difahami pelajar yang menjadi penonton. Aksi-aksi lucu semasa persembahan choral speaking juga boleh menarik perhatian penonton. Maka pelbagaikan.

13) Bicara Berirama

Bicara berirama adalah choral speaking dalam Bahasa Melayu. Konsepnya sama seperti choral speaking cuma hanya menggunakan Bahasa Melayu sebagai persembahan. Seperti juga choral speaking, aksi persembahan Bicara Berirama perlulah menarik perhatian penonton, mesej yang disampaikan jelas dan dapat memberi nilai-nilai baik kepada pelajar lain.

14) Koir

Persembahan koir ini boleh diadakan jika sekolah mahukan kelainan. Pastikan pemilihan lagu yang sesuai dan mudah untuk dinyanyikan. Jika mendapat latihan cukup, pasti persembahan mereka sangat mengagumkan.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp