kredit foto: pexels
kredit foto: pexels

Kenali jenis hutan di Malaysia dan ciri-cirinya

19 Sep 2023 06:02pm
A
A
A

Malaysia merupakan sebuah negara yang mempunyai begitu banyak tarikan alam yang terdiri daripada pelbagai flora dan fauna yang unik dan menarik.

Ini termasuklah hutan di Malaysia kerana ia merupakan khazanah alam yang sangat tinggi nilainya.

Selain ‘menghidangkan’ keindahan pada pandangan mata, hutan juga mempunyai fungsi dan tujuannya.

Antara kepentingan hutan kepada masyarakat adalah fungsinya sebagai kawasan tadahan air selain dijadikan sumber air yang dominan dan berfungsi untuk mengelakkan banjir.

Bayangkan jika tiada hutan, tidak ada penahan kepada air sungai yang melimpah lalu menyebabkan banjir yang dahsyat serta mengancam nyawa manusia serta harta benda.

Malah jika dijaga dengan baik, ia juga mampu menjadi tarikan sektor pelancongan yang boleh menjana kepada pembangunan ekonomi negara.

Tahukah anda sehingga tahun lepas negara kita mempunyai jumlah keluasan hutan sebanyak 54 peratus iaitu 18.83 juta hektar.

Untuk itu Sinar Bestari kongsikan jenis hutan yang terdapat dalam negara serta ciri-cirinya hasil perkongsian Jabatan Perhutanan Negara.

Artikel Berkaitan:

Jom baca!

Jenis hutan yang terdapat di Malaysia adalah jenis Hutan Tropika. Ciri-ciri kepada hutan jenis ini adalah malar hijau.

Ia merupakan tumbuhan hijau yang tidak menggugurkan semua daun selain tumbuh rapat-rapat dan tebal.

Selain itu, hutan jenis ini dibentuk dengan empat lapisan yang nyata iaitu

infografik perkongsian: Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia
infografik perkongsian: Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia



a) Lapisan Kanopi Teratas (Emergent Canopy)

Pada lapisan atas ini tumbuhan terdiri daripada pokok-pokok yang sangat tinggi. Selain itu, burung helang merupakan salah satu pemburu hutan yang boleh dilihat dalam hutan ini.

b) Kanopi Utama (Main Canopy)

Pokok-pokok dalam lapisan ini lazimnya tumbuh lebih rapat antara satu sama lain. Daun-daunnya membentuk kanopi yang tebal sekaligus memudahkan untuk haiwan meluncur serta melompat dari satu dahan ke dahan yang lain seperti monyet dan burung.

c) Lapisan bawah (Understorey)

Lapisan ini terbentuk daripada pokok-pokok yang lebih kecil serta tumbuhan menjalar. Anak pokok juga boleh dilihat dengan banyak di kawasan ini. Selain itu, burung dan kelawar sangat kerap dijumpai berada di kawasan ini melalui ruang terbuka yang sedia ada.

Di bawah ruangan ini binatang pemburu seperti harimau kumbang dan burung lebih besar kerap dilihat berkeliaran.

d) Lantai Hutan (Forest Floor)

Di lapisan terbawah ini pelbagai spesies tumbuh-tumbuhan boleh dilihat. Antaranya cendawan, bunga rafflesia, pokok renek serta pokok herba hidup dalam lapisan lantai hutan.

Namun begitu, tumbuh-tumbuhan yang hidup di kawasan ini jarang bertahan lama atas faktor kekurangan mendapat cahaya matahari kerana terlindung dengan pokok-pokok tinggi.

Di lapisan ini juga dapat dilihat pelbagai spesies haiwan seperti tapir, harimau, gajah, tenggiling dan pelbagai lagi.

Diharapkan dengan perkongsian ini ia dapat memberi manfaat kepada semua pembaca Sinar Bestari.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok