Miliki sifat empati mengajar al-Quran mashaf braille
Alunan merdu 32 orang kurang upaya (OKU) penglihatan melantunkan bacaan ayat suci al-Quran bersama mashaf braille cukup memberi kesedaran betapa pentingnya pembelajaran kitab suci berkenaan.
Merupakan para peserta Majlis Khatam Al-Quran 2.0 di Kumpulan Karangkraf, Shah Alam, Selangor, baru-baru ini, program tersebut bersempena memperingati peristiwa bersejarah dalam kalendar Islam, Nuzul al-Quran.
Pensyarah Bidang Quran Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Mohd Nur Adzam Rasdi yang berkesempatan mengajar al-Quran mashaf braille kepada kanak-kanak berusia sembilan hingga 10 tahun di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz, Selangor, pada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu berkata, mengajar al-Quran golongan istimewa terutama OKU penglihatan tidak sama seperti mengajar mereka yang celik penglihatan.
“Sebagai tenaga pengajar, kita perlu menerapkan nilai empati pada diri kerana simpati sahaja tidak mencukupi untuk memahami keperluan mereka.
“Kaedah pembelajaran yang dipilih perlu bersesuaian, berkesan dan menepati minat serta kecederungan mereka.
“Ia berikutan bukan semua kaedah sesuai untuk semua golongan istimewa” katanya ketika ditemui Sinar Bestari.
Justeru, tuturnya, mereka perlu menyentuh huruf satu per satu untuk membaca tidak seperti orang normal.
“Pengajar juga perlu mempunyai sifat kesabaran yang tinggi dan memahami situasi kerana jika golongan berkenaan kurang sensitiviti sentuhan pembacaan semakin lambat,”katanya.
Mohd Nur Adzam menambah, golongan istimewa berkenaan akan menggunakan tangan dominan mereka dengan penggunaan jari telunjuk dalam pembacaan al-Quran braille.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan, ia bergantung pada individu juga kerana terdapat perbezaan sensitiviti pada jari.
“Yang paling sensitif ialah jari telunjuk, bagi pembaca pemula (beginner), dia akan menggunakan kedua-dua belah tangan.
“Satu tangan akan menjaga pangkal barisan ayat braille yang sedang dibaca manakala satu lagi akan menyentuh huruf-huruf sehingga habis baris bacaan ayat berkenaan,” ujarnya.
Beliau yang aktif bersama Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (Pertis) dalam membangunkan garis panduan, penulisan dan menyemak al-Quran braille berkata, usaha berterusan dilaksanakan untuk memberi peluang kepada golongan OKU mendalami penulisan dan tafsiran al-Quran.
“Pembelajaran perlu diperluaskan sehingga mampu memahami dan menerangkan isi al-Quran,” tuturnya.
Kelebihan membaca al-Quran
- Barangsiapa yang membaca satu huruf daripada al-Quran maka baginya satu kebajikan. Satu kebaikan digandakan kepada sepuluh kebajikan.
- Membaca al-Quran dan sukar menyebutnya menerima dua pahala.
- Allah SWT mengangkat martabat orang yang membaca al-Quran.
- Membaca al-Quran mampu memperoleh ketenangan.
- Sebagai Syafaat di akhirat kelak.
- Orang yang belajar dan mengajar al-Quran adalah sebaik-baik amalan.