Muna Shahirah bakal muncul dengan single terbaharu untuk drama televisyen.
Muna Shahirah bakal muncul dengan single terbaharu untuk drama televisyen.

Muna Shahirah imbangi kerjaya gamer penstriman profesional, nyanyian

NADZARUL AMIR ZAINAL AZAM
06 Apr 2023 03:46pm
A
A
A

Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) beberapa tahun lalu menjadi titik perubahan dalam kehidupan penyanyi berasal dari Mersing, Johor, Muna Shahirah Munadi.

Graduan Ijazah Sarjana Muda Matematik dan Ekonomi, Universiti Sains Malaysia (USM) itu mula mengenali dunia penstriman permainan video PlayerUnknown’s Battlegrounds (PUBG) sekali gus menjadikan ia sebagai sumber rezeki tambahan selepas perancangan kerjaya seni terbantut berikutan pandemik Covid-19.

Sebagai anak sulung daripada tiga beradik, dia memberitahu ingin meringankan beban ibu bapa dalam perbelanjaan isi rumah terutama apabila negara berdepan pandemik.

"Selepas kerjaya nyanyian terkesan akibat pandemik Covid-19, saya membulatkan hati mencari alternatif untuk menjana pendapatan.

"Saya mula melayari internet dan tertarik dengan penstriman permainan video PUBG yang mampu menjana pendapatan sehingga lima angka.

"Saya banyak melakukan penyelidikan di enjin pencarian Google dan Youtube untuk mempelajari mengenai dunia penstriman permainan video PUBG berikutan kosong pengetahuan dalam industri berkenaan," katanya ketika ditemui pada Majlis Berbuka Puasa dan Pelancaran Lagu Raya FMC di Hotel Tenera, Bandar Baru Bangi, Selangor, baru-baru ini.

Muna Shahirah membahagikan masa dengan baik untuk mengimbangi dua kerjaya.
Muna Shahirah membahagikan masa dengan baik untuk mengimbangi dua kerjaya.

Gamer penstriman profesional

Artikel Berkaitan:

Berbekalkan usaha dan semangat tidak mudah putus asa, wanita berusia 28 tersebut menerima peluang bergelar pemain penstriman permainan video profesional.

Mengulas lanjut, Muna Shahirah memberitahu, dia bertuah apabila satu kandungan penstriman 'meletup' sehingga mencecah lebih 10,000 tontonan di laman Facebook.

"Kandungan penstriman tersebut telah membuka 'pintu' kepada saya menandatangani kontrak bersama Facebook.

"Saya juga dilamar pasukan berpangkalan di Brunei dikenali sebagai CRIT Esports menjadi salah seorang bakat pasukan tersebut," tuturnya.

Biarpun baharu tiga tahun berkecimpung dalam dunia penstriman permainan video PUBG, dia boleh berbangga kerana mampu menampung perbelanjaan keluarga.

Bercerita mengenai cabaran yang perlu ditempuhi sebagai pemain penstriman permainan video profesional, Muna berkata, dia perlu menyakinkan ibu bapa apabila mula menceburi bidang berkenaan.

"Pada mulanya, ibu bapa kurang menyokong apatah lagi saya seorang wanita dan sudah berkecimpung dalam bidang nyanyian.

"Bagaimanapun, apabila saya menjelaskan kerjaya tersebut sama seperti pekerjaan lain yang mempunyai gaji bulanan dan slip gaji mereka mula lembut hati sekali gus memberi sokongan," luah penyanyi lagu Bukan Milikku itu.

Muna Shahirah menambah, dia juga perlu menangkis persepsi segelintir pihak bahawa penstriman permainan video membuang masa.

Muna Shahirah sudah tiga tahun berkecimpung dalam bidang  penstriman permainan video. - Kredit foto Instagram Muha Shahirah.
Muna Shahirah sudah tiga tahun berkecimpung dalam bidang penstriman permainan video. - Kredit foto Instagram Muha Shahirah.

Tegasnya, menceburi bidang berkenaan memerlukan saluran yang betul seperti menyertai pasukan-pasukan profesional berkelayakan.

"Mungkin ramai tidak mengetahui terdapat banyak pasukan-pasukan profesional penstriman permainan video yang giat mencari bakat-bakat baharu untuk diketengahkan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

"Justeru, jika terdapat individu yang serius dalam menceburi bidang ini, mereka hendaklah melakukan penyelidikan terlebih dahulu dan mengenal pasti medium betul untuk menjana pendapatan," katanya.

Dia menjelaskan, pemain penstriman permainan video profesional juga berpeluang memasuki pertandingan sehingga peringkat Asia Tenggara malah global.

Katanya lagi, mempunyai dua kerjaya memerlukan komitmen yang tinggi untuk memastikan meraih kejayaan.

Muna Shahirah (kanan berdiri) pada  Majlis Berbuka Puasa dan Pelancaran Lagu Raya FMC di Hotel Tenera, Bandar Baru Bangi, Selangor, baru-baru ini.
Muna Shahirah (kanan berdiri) pada Majlis Berbuka Puasa dan Pelancaran Lagu Raya FMC di Hotel Tenera, Bandar Baru Bangi, Selangor, baru-baru ini.

Bidang nyayian

"Saya akan mengimbangi masa untuk kedua-kedua kerjaya berkenaan dengan menjalani latihan penstriman permainan video selama dua minggu manakala selebihnya akan memberi tumpuan kepada bidang nyanyian.

"Saya juga baharu sahaja melancarkan dua karya terbaharu berjudul Terpaling Di Hari Raya dan Wira Raya," tuturnya.

Muna Shahirah memberitahu, lagu Terpaling Di Hari Raya adalah gandingan bersama artis-artis FMC iaitu Tajul Ariff Noor Md Shari (Tajul), Nurshazwany Hasrita Hasbullah (Wany Hasrita), Muhammad Shafieq Shazwan Zamros (Afieq Shazwan), Arumi Nafis Mohd Adzmi (Tuah Adzmi) dan Nursyazwani Selamat (Wani Syaz).

Katanya, Wira Raya pula menggabungkan paduan suara bersama Wany Hasrita dan Wani Syaz.

"Selain dua lagu raya tersebut, saya akan tampil dengan single terbaharu berkonsepkan genre balada untuk drama televisyen.

"Saya berharap lagu-lagu berkenaan mendapat sambutan daripada peminat-peminat sekali gus mengubat rindu mereka," katanya menutup bicara.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok