Nak mohon Guru Cemerlang? Berikut 13 fail yang cikgu perlu sediakan!
Menjadi seorang Guru Cemerlang sebenarnya ada banyak kelebihan, antaranya kenaikan pangkat yang lebih cepat, kenaikan gaji, tidak terlibat dengan urusan pentadbiran dan banyak lagi.
Apabila membaca berita mengenai ramai Guru Cemerlang di seluruh Malaysia menerima anugerah, mungkin ada sebilangan cikgu yang tertanya-tanya, bagaimana mereka boleh mendapat anugerah tersebut sedangkan anda tidak?
Sebenarnya untuk menjadi Guru Cemerlang, ia perlu dimohon terlebih dahulu, kemudian permohonan tersebut perlu mengikuti beberapa proses iaitu permohonan, saringan dan tapisan di Putrajaya.
Selepas itu, jika melepasi tapisan kelayakan tersebut, akan ada proses pemantauan di sekolah bagi tujuan verifikasi. Akhirnya barulah keluar keputusan dan proses pelantikan berlaku.
Buat guru-guru yang ingin memohon Guru Cemerlang, anda perlu membuat pelbagai persediaan supaya mudah untuk melepasi beberapa proses saringan berkenaan.
Justeru, Sinar Bestari akan menunjukkan apakah fail-fail yang perlu disediakan untuk menjadi seorang Guru Cemerlang seperti yang dikongsi seorang guru dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Badlishah, Kulim, Kedah, Cikgu Che Norainie di laman TikTok baru-baru ini.
Senarai fail yang perlu disediakan oleh beliau adalah;
1) Fail meja guru
2) Program yang telah dihadiri
3) Inovasi dan pencapaian yang telah diperoleh sepanjang berkhidmat
4) Kajian, kertas kerja dan penulisan profesional
5) Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP)
6) Headcount dan analisis peperiksaan
7) Pelaporan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS)
8) Fail program peningkatan prestasi
9) Fail-fail berkaitan jawatan yang disandang
10) Fail kemenjadian murid
11) Standard prestasi murid
12) Fail yang mengandungi sijil-sijil yang diperoleh dan diasingkan mengikut tahun
13) Fail borang penskoran individu
Cikgu Norainie turut menyarankan supaya jadual kandungan diletakkan di dalam setiap fail tersebut bagi memudahkan pembaca mengetahui kandungan di dalam fail tersebut.
Semoga perkongsian ini membantu.