Menerusi Penilaian Celik Digital, guru-guru perlu menjawab 50 soalan secara dalam talian selama dua jam.
Menerusi Penilaian Celik Digital, guru-guru perlu menjawab 50 soalan secara dalam talian selama dua jam.

Penilaian Celik Digital uji kemahiran dan keupayaan para guru melalui platform digital

ROSHLAWATY MD RAIEHROSHLAWATY MD RAIEH
11 Aug 2023 05:05pm

Sejak akhir-akhir ini, semakin ramai guru-guru melaksanakan Penilaian Celik Digital yang bertujuan menilai tahap kematangan celik digital individu secara keseluruhannya.

Semua penjawat awam (termasuk guru-guru) Kementerian Pendidikan (KPM) wajib melaksanakan Penilaian Celik Digital dan perlu menjawab soalan objektif dalam tempoh ditetapkan melalui laman sesawang https://www.celikdigital.gov.my

Penilaian Celik Digital berkenaan perlu dilaksanakan sebelum 31 Ogos ini sekali gus dikira sebagai dua jam latihan serta boleh direkodkan dalam Sistem Pengurusan Latihan KPM (SPLKPM).

Sebagai info, Penilaian Celik digital merupakan ujian bagi menilai keupayaan penjawat awam untuk mencari, menilai dan menggunakan maklumat melalui platform digital.

Secara khusus, ini adalah kemahiran yang diperlukan untuk menggunakan komputer dan internet dalam kehidupan seharian, pekerjaan dan juga pembelajaran (Northstar Digital Literacy).

Pelaksanaan ujian ini adalah berpandukan kepada Malaysia Digital Economy Blueprint (MyDigital) yang telah dilancar pada 19 Februari 2021.

Kerajaan sebelum ini telah menetapkan hala tuju ekonomi digital negara dan membina asas untuk memacu inisiatif-inisiatif pendigitalan merangkumi kluster kerajaan, rakyat dan perniagaan.

Objektif pelaksanaan Penilaian Celik digital adalah untuk merealisasikan aspirasi kerajaan untuk mencapai 100 peratus penjawat awam yang celik digital menjelang 2025.

Artikel Berkaitan:

Terdapat lima elemen yang diuji menerusi Penilaian Celik Digital iaitu Information and Data Literacy; Communication and Collaboration; Digital Content Creation; Safety dan Problem Solving.

Penilaian melibatkan 50 soalan yang perlu dijawab secara dalam talian selama dua jam.

Sekiranya guru-guru terpaksa berhenti disebabkan hal-hal yang tidak dapat dielakkan atau talian internet terputus, warga pendidik boleh log in semula dan sambung menjawab soalan seterusnya dengan baki masa yang ada.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp