'Terbang' setengah jam, lawat KKIA beri persepsi berbeza pelajar MRSM Kota Kinabalu dalam kerjaya industri penerbangan
Pengalaman 'terbang' selama setengah jam selain berpeluang melawat kawasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) berjaya membawa persepsi berbeza dalam industri penerbangan kepada pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kota Kinabalu, Sabah.
Malah program lawatan selama setengah hari di KKIA pada Jumaat juga sebenarnya tanpa disedari memberi peluang kepada pelajar yang tidak pernah menaiki pesawat.
Perkara itu diakui seorang pelajar berasal dari Kiulu, Tuaran, Olivianatasha Slyvester, 17, yang tidak pernah menaiki pesawat tetapi teruja apabila mendapat peluang berada di dalam 'perut' kapal terbang milik syarikat tambang murah AirAsia menerusi lawatan tersebut.
"Walaupun saya bersekolah di Kota Kinabalu dan sering melihat kapal terbang berlepas melintasi ruang udara atau mendarat tetapi ini kali pertama saya dapat menaiki pesawat.
"Biarpun tidak terbang tetapi hari ini saya mendapat pengalaman sebagai penumpang pesawat kerana ini kali pertama saya menaikinya," katanya ketika ditemui selepas lawatan anjuran Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) di KKIA pada Jumaat.
Olivianatasha yang juga anak petani berkata, menerusi lawatan itu juga membuka perspektif lain terutama melibatkan bidang kerjaya dalam indusri penerbangan.
"Kami diberi pendedahan mengenai kerjaya di mana industri penerbangan ini tidak hanya berkaitan pramugari dan juruterbang saja sebaliknya ada bahagian lain lagi seperti pengurusan lapangan terbang.
"Kami juga melawat balai bomba lapangan terbang dan diberi pengalaman bagaimana anggota bomba bertindak ketika berlaku kecemasan," kata anak kedua daripada empat beradik itu.
Namun ketika ditanya pengalaman paling berharga sepanjang lawatan itu, Olivianatasha berkata, menaiki kapal terbang selama setengah jam itu adalah pengalaman yang tidak boleh dilupakan baginya.
"Sebelum ini, saya cuma tengok dalam drama atau filem saja tetapi kali saya merasai sendiri duduk sebagai penumpang.
"Mungkin selepas ini saya berimpian akan menaiki pesawat untuk perjalanan domestik dahulu untuk merasai sendiri bagaimana sebenarnya suasana ketika berada di awan biru," katanya.
Sementara itu, seorang pelajar berasal dari Kota Belud, Angelina Miracle, 17, berkata, dia melihat banyak kelebihan dalam industri penerbangan terutamanya dalam bidang kerjaya.
Angelina yang bercita-cita ingin menjadi jurutera berkata, sudah tentu industri penerbangan membawa peluang yang luas dalam kerjaya yang diimpikannya.
"Tetapi saya juga tertarik untuk menjadi pramugari apabila diberi pendedahan mengenai kerjaya tersebut selepas dilayan sebagai penumpang oleh pramugari dan diberi pendedahan mengenai kerjaya tersebut," ujarnya.
Menurut anak kepada pemandu lori itu lagi, dia berharap suatu hari nanti akan dapat melanjutkan pengajian di luar Sabah dan berpeluang menaiki pesawat.
"Saya sudah ada perancangan selepas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) nanti akan melanjutkan pengajian di Perak, jadi itulah peluang saya menaiki pesawat nanti," katanya.
Sebelum itu, dalam program dengan kerjasama AirAsia turut memberi pengalaman kepada pelajar apabila mereka dihidangkan menu popular syarikat penerbangan tersebut iaitu Nasi Lemak Pak Nasser.
Kumpulan pelajar ini juga diberi peluang meninjau bahagian dalam pesawat termasuk kokpit untuk juruterbang dan ruang dapur pesawat untuk anak kapal menyediakan makanan kepada penumpang.