Rencam tugasan jururawat. Profesion yang wujud di Malaysia sejak lebih 200 tahun lalu
Kerjaya kejururawatan bukan profesion asing dalam masyarakat tempatan, apatah lagi ia mula bertapak di negara ini sejak tahun 1800.
Bahkan, perkhidmatan pertama bermula di Pulau Pinang dan Singapura oleh anggota dari East India Co. sebelum ia berkembang pada 1951 sehingga melahirkan ribuan 'hero-hero tidak didendang' hari ini.
Profesion jururawat tidak terbatas kepada wanita sahaja tetapi golongan lelaki turut berkecimpung dalam bidang berkenaan untuk sama-sama memperkasa sistem perubatan negara.
Bidang 'rare' golongan lelaki
Khairul Syafiq Jasmani yang berkhidmat sebagai jururawat di Hospital Pakar KPJ Perlis berkata, profesion tersebut dianggap agak rare (luar biasa) bagi golongan Adam.
"Bagaimanapun, saya mula 'jatuh cinta' dalam bidang kejururawatan selepas mempelajari dan mengenali dengan lebih mendalam, sekali gus menjadikan ia kerjaya.
"Secara jujur, pada mulanya saya langsung tidak berminat bidang ini tetapi dorongan dan sokongan ibu bapa menjadi pemangkin semangat untuk meneruskan pengajian dalam bidang kejururawatan.
"Alhamdulillah, saya sudah 10 tahun berkhidmat dalam bidang yang agak rare bagi golongan lelaki ini," kata graduan Universiti Kuala Lumpur Royal College of Medicine Perak (UniKL RCMP) itu.
Sejak kebelakangan ini, dia memberitahu, permintaan jururawat lelaki semakin tinggi menunjukkan kerjaya tersebut mempunyai kebolehpasaran yang tinggi.
Kemahiran
Bercerita mengenai kemahiran, pemuda berusia 31 tahun itu menjelaskan, perkara paling utama adalah rasa tanggungjawab yang tinggi perlu disemai dalam diri.
"Ini kerana jururawat perlu menggalas setiap amanah yang diberikan seperti menjaga pesakit dan memastikan mereka kembali pulih untuk menjalani kehidupan seharian.
"Justeru, sifat tanggungjawab memainkan peranan penting bagi memastikan amanah yang dipikul dapat dilaksanakan dengan baik," katanya.
Dalam pada itu, Mazatul Shafirah Salim yang berkhidmat sebagai tenaga pengajar jururawat Hospital Pakar KPJ Perlis memberitahu, antara kemahiran-kemahiran yang perlu dimiliki jururawat adalah cekap dan cepat dalam melakukan tugas, penyayang, penyabar, etika kerja yang tinggi, kerja berpasukan dan memiliki fizikal kuat.
"Jururawat bertanggungjawab melaksanakan tugas perawatan dan penjagaan pesakit.
"Selain itu, profesion jururawat memberi pendidikan dan promosi kesihatan, pengawalan serta keselamatan pesakit untuk memastikan perkhidmatan kejururawatan dapat digalas dengan baik," ujarnya.
Graduan Institusi Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) Alor Setar, Kedah itu menjelaskan, skop tugasan jururawat juga amat luas merangkumi membuat persediaan untuk kunjungan doktor dan memberi maklumat tentang pemerhatian, kemajuan pesakit serta reaksi ubat-ubatan.
"Jururawat akan mendokumenkan kemajuan rawatan dan laporan tentang perkara luar biasa atau kesan sampingan kepada pegawai bertugas, memastikan rawatan yang diberi selamat serta terkawal.
"Sebagai jururawat, alat kelengkapan perlu dibersihkan selepas digunakan dan disimpan dalam keadaan baik serta siap sedia untuk melancarkan proses rawatan," ujar pemegang Diploma Lanjutan Penjagaan Diabetes itu.
Cabaran
Bercerita mengenai cabaran pula, Khairul Syafiq memberitahu, terdapat pelbagai cabaran yang perlu dilalui apabila bergelar jururawat.
Antaranya sering dimarahi pesakit ataupun waris pesakit apabila menjalankan tugas.
"Bagaimanapun, senario berkenaan bukan penghalang untuk saya meneruskan kerjaya ini. Saya perlu bijak mengawal emosi dan menyelesaikan situasi terbabit secara profesional.
"Terdapat juga tanggapan jururawat lelaki memiliki personaliti lembut, ia sama sekali tidak benar kerana kami akan melaksanakan tanggungjawab dengan penuh dedikasi," ujarnya sambil mengukir senyuman.
Dalam pada itu, Mazatul Shafirah yang sependapat dengan Khairul Syafiq berkata, para pesakit yang ingin mendapatkan rawatan akan datang dengan pelbagai ragam dan emosi.
"Kita bukan sahaja perlu mendepani emosi pesakit yang kurang stabil tetapi terdapat ahli keluarga yang sangat emosi.
"Sebagai jururawat, perlu memiliki sifat penyabar yang tinggi dan pemikiran kritikal dalam menangani situasi tersebut," katanya.
Memiliki pengalaman selama 12 tahun, Mazatul Shafirah berkata, pelajar-pelajar yang ingin berkecimpung dalam bidang kejururawatan perlu mempunyai minat malah rajin mengikuti perkembangan dalam bidang perubatan.
"Jururawat bukanlah pekerjaan yang mudah kerana banyak menghabiskan masa dan tenaga untuk membantu meringankan beban pesakit," tuturnya.
Khairul Syafiq menambah, bidang kejururawatan merupakan satu profesion yang murni malah dapat membantu orang dalam kesusahan terutama para pesakit.
"Kita juga dapat membantu ibu, bapa serta ahli keluarga lain dalam bidang kesihatan. Jika memiliki minat teruskan usaha kerana kerjaya jururawat dapat membentuk jati jiwa," ujarnya.
PROFIL
NAMA: Khairul Syafiq Jasmani
UMUR: 31 tahun
STATUS: Berkahwin
ASAL: Perlis
PENDIDIKAN: Diploma Kejururawatan Universiti Kuala Lumpur Royal College of Medicine Perak (UniKL RCMP).
JAWATAN: Jururawat Hospital Pakar KPJ Perlis
PENGALAMAN : 10 tahun
PROFIL
NAMA: Mazatul Shafirah Salim
UMUR:36 tahun
STATUS: Berkahwin
ASAL: Perlis
PENDIDIKAN: Diploma Lanjutan Penjagaan Diabetes Institusi Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) Alor Setar, Kedah.
JAWATAN: Pengajar jururawat Hospital Pakar KPJ Perlis
PENGALAMAN: 12 tahun