Sisi kreatif Azhar Sulaiman. Meneroka gabungan arkitek, seni reka dalaman
Senario kelibat seekor lipas melanggar tin, mungkin tidak memberi sebarang makna pada sudut pandangan orang biasa.
Bagaimanapun, individu yang memiliki anugerah pemikiran kreatif, sudut pandang terbabit mampu menterjemah ilham dalam penghasilan sesebuah karya.
Ia berikutan mereka yang mampu berfikir secara kreatif akan menggunakan minda untuk meneroka pelbagai kemungkinan dalam menghasilkan sesuatu baharu bersifat konkrit dan abstrak.
Lepasan ijazah, Universiti Kingston Upon Thames London, United Kingdom (UK), Azhar Sulaiman berkata, memperoleh ilham dalam mereka bentuk tidak ‘datang‘ dengan mudah.
“Kita tidak boleh menetapkan masa untuk memperoleh ilham dalam mereka bentuk kerana ia boleh muncul sepanjang tempoh 24 jam.
“Sebagai contoh, terdapat seekor lipas yang lalu di hadapan kita dan terlanggar sebuah tin. Ia boleh menjadi sumber ilham dalam penyelesaian mereka bentuk,” ujar lelaki berusia 52 tahun itu kepada Sinar Bestari.
Kreativiti rekaan
Bahkan, sentuhan kreativiti hero filem Abang 92 itu pernah merangkul tempat pertama dalam pertandingan mereka bentuk Pejabat Jualan dan Tiket Antarabangsa Malaysia Airlines.
Selain itu, rekaan Azhar Sulaiman turut merangkul tempat pertama Kaunter Masuk dan Lounge Malaysia Airlines pada tahun 2000.
Hasil karya Azhar Sulaiman masih berdiri teguh di aras lima, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, Selangor.
“Pada pertandingan berkenaan, rekaan tersebut bersaing dengan 10 syarikat lain dari dalam dan luar negara. Saya beranggapan konsep hotel mewah akan diguna pakai dalam rekaan ini.
“Bagaimanapun, saya ingin menampilkan konsep menggunakan bahan industri tetapi kelihatan simple dan mewah melalui rekaan itu.
“Alhamdulillah, rekaan meraih tempat pertama dalam pertandingan itu malah ia membuka peluang untuk mereka bentuk kaunter Jualan dan Tiket Malaysia Airlines di Kl Sentral, Kuala Lumpur,” ujarnya.
Bercerita lanjut, Azhar Sulaiman memberitahu, dia mempunyai kelebihan ‘membaca‘ keperluan sesuatu pertandingan.
Tuturnya lagi, dia juga memiliki keupayaan dalam menyakinkan orang dalam pembentangan sesuatu projek.
“Saya juga terlibat dalam pelbagai rekaan dalaman termasuk rumah, set penggambaran seperti pejabat, rumah, klinik dan banyak lagi.
“Selain itu, saya pernah diberi tanggungjawab mereka bentuk set penggambaran filem •Cicak Man• serta drama Pengarah dan Penerbit terkenal, Kabir Bhatia.
“Menariknya, saya bukan sahaja mereka bentuk set penggambaran tersebut tetapi dapat berlakon dalam drama hasil produk rekaan saya,”kata lelaki kelahiran Bentong, Pahang itu.
Minat
Dia yang pernah bekerja bersama firma arkitek terkemuka Foster Partners di London, United Kingdom memberitahu, menceburi bidang rekaan perlu memiliki minat mendalam terutama dalam seni.
“Individu berkenaan mungkin meminati seni lukisan, imej abstrak, grafik dan lain-lain. Minat tersebut merupakan indikator awal terdapat ‘benih‘ menceburi bidang rekaan dalam diri seseorang.
“Justeru, mereka yang memiliki ‘benih‘ berkenaan perlu mencari cabang rekaan yang ingin diceburi kelak,” ujarnya.
Azhar Sulaiman memberitahu, dia pernah gagal beberapa semester sewaktu menuntut di Institut Teknologi Mara (ITM) Shah Alam, Selangor sehingga dekan Fakulti Seni Bina meminta dia berhenti pengajian dan memberi tumpuan kepada lakonan.
Bagaimanapun, dia menegaskan ingin menghabiskan pengajian kerana minat mendalam terhadap rekaan.
“Pada waktu itu, saya tersepit antara dunia lakonan dan pengajian sehingga menjejaskan pelajaran tetapi ia bukan penghalang untuk menggenggam diploma.
“Saya tidak pernah berputus asa malah dapat melanjutkan pengajian ke United Kingdom bagi mendalami ilmu seni bina,”tuturnya.
Pengorbanan
Bergelar pelakon, Azhar Sulaiman banyak mengalah termasuk berkorban masa, keluarga dan pengajian.
Katanya, dia tidak dapat menghadiri hari-hari penting anak-anak dan isteri, itu merupakan antara pengorbanan yang perlu dipikul apabila menjadi pelakon.
“Sepanjang bergelar pelakon, saya banyak berkorban termasuk tidak menghadiri peperiksaan penting sehingga menjejaskan pengajian.
“Begitu pun, saya bangkit dan menamatkan pengajian sehingga peringkat tertinggi untuk memastikan kebahagiaan keluarga,” katanya.
Dia menambah, sebagai pereka, dia sangat suka apabila hasil karya rekaannya menerima pujian orang ramai.
Tuturnya, ia merupakan satu kepuasan kerana sesuatu rekaan mengambil masa selama bertahun-tahun untuk diterjemahkan menjadi karya terbaik.
PROFIL
Nama: Azhar Sulaiman
Status: Berkahwin
Anak: Tiga orang
Asal: Bentong, Pahang
PENDIDIKAN:
- Universiti Kingston Upon Thames London, United Kingdom (UK) - Sarjana Seni Bina
- Universiti Newcastle Upon-Tyne, Newcastle, United Kingdom (UK) - Ijazah Sarjana Muda Seni Bina
- Institut Teknologi Mara (ITM) Shah Alam, Selangor - Diploma Seni Bina
PENCAPAIAN dan ANUGERAH
- Tempat pertama pertandingan mereka bentuk Pejabat Jualan dan Tiket Antarabangsa Malaysia Airlines (2000).
- Tempat pertama pertandingan mereka bentuk Kaunter Masuk dan Lounge Malaysia Airlines (2000).
- Tempat pertama pertandingan rekaan Sainsbury, London, United Kingdom (2000).
- Tempat pertama pertandingan rekaan Cosmos Skyscapper, London, United Kingdom (2000).
- Tempat pertama pertandingan rekaan Dataran Sultan Azlan Shah (1990).
- Tempat pertama terminal bas dan kemudahan awam Ipoh, Perak (1990).