'Teknik Cabang' bantu pelajar bina karangan panjang
Menghasilkan karangan yang panjang dan seragam bagi mata pelajaran Bahasa Melayu sering menimbulkan masalah kepada pelajar.
Kata mereka, ketandusan idea, fakta tidak mencukupi, tidak kreatif dan tidak cukup latihan adalah antara punca pelajar gagal membina karangan bermutu dan berkualiti.
Menurut Mohamad Rozi Bin Kasim di Facebooknya, pelajar boleh menggunakan 'Teknik Cabang' jika mereka sukar membina karangan yang dimahukan guru.
Apa itu Teknik Cabang yang dimaksudkan guru Bahasa Melayu ini?
Jom Sinar Bestari bawakan perkongsian beliau untuk panduan guru dan pelajar.
*****
Teknik ini menyedari bahawa setiap pelajar murid dan pelajar ada idea walaupun mereka itu pelajar lemah.
Tugas guru hanya melatih pelajar membina ayat yang baik daripada point/idea masing-masing. Insya-ALLAH, pelajar akan berjaya menulis setiap perenggan dengan jumlah ayat paling kurang 10-11 ayat dan akhirnya binaan karangan akan seimbang setiap perenggan dan panjang.
Pertama sekali, guru dan pelajar akan berbincang empat isi penting yang utama.
Selepas mendapat empat isi penting itu, barulah Teknik Cabang akan digunakan.
Bagaimana ingin memilih isi terbaik? Sebab kadang-kadang pelajar pilih isi yang hampir sama bagi setiap perenggan, betul tak? Ini menyebabkan kualiti karangan berkurang.
Oleh itu, latih pelajar keluarkan sebanyak mungkin isi atau apa yang mereka faham terlebih dahulu tentang tajuk (10-12 isi) yang ada dalam kepala. Lepas itu baru pilih isi terbaik.
Isi yang hampir sama kita akan nomborkan dan letak di bawah ‘kepala’ yang sama. Cara ini bukan sahaja mengelakkan mereka tulis isi yang hampir sama, malah pelajar akan dapat idea tambahan untuk menulis huraian.
Setiap isi akan ada dua ke tiga cabang yang utama (jika pelajar ada idea lebih boleh jadikan cabang tersebut empat atau lebih).
Apabila setiap cabang telah diisi dengan point atau idea ringkas, barulah pelajar dikehendaki membina ayat dalam bentuk perenggan. Pastikan setiap cabang itu satu ayat, jangan sambung-sambung dengan cabang lain.
Apakah cara nak rangsang minda pelajar tulis idea di setiap cabang? Mudah sahaja. Di sini, saya berikan beberapa bentuk soalan.
1) Jika soalan berbentuk LANGKAH/CARA/KAEDAH
Biasanya soalan jenis ini meminta pelajar menulis langkah ke arah kebaikan. Oleh itu, guru perlu menjelaskan kepada pelajar bahawa cabang satu, pelajar mesti menulis situasi sebelum ini (keburukan), iaitu sebelum sesuatu langkah itu diambil.
Saya bagi contoh, jika isi penting ialah ‘melakukan senaman’ bagi tajuk karangan langkah-langkah mengatasi masalah obesiti, jadi sudah pastilah perkara buruk di cabang satu itu tadi ialah masyarakat malas bersenam sehingga menyebabkan obesiti.
Cabang dua pula langkah yang perlu diambil. Jika pelajar mempunyai banyak idea dan contoh dalam langkah tersebut, tambah sahaja cabang supaya karangan lebih panjang dan mantap.
Saya galakkan perbanyakkan ranting (idea) dalam cabang dua ini supaya karangan kita akan banyak menceritakan langkah dan tidak terpesong. Mungkin boleh tambah ungkapan menarik (peribahasa, cogan kata dan sebagainya).
Cabang tiga pula kesan selepas langkah diambil. Tidak perlu banyak, mungkin satu atau dua ayat sahaja.
Ayat penegasan merupakan ayat terakhir yang perlu ditulis tetapi tidak perlu dimasukkan dalam rangka cabang.
Ayat penegasan ini perlu ditulis supaya pelajar tidak terpesong.
2) Jika soalan berbentuk PUNCA/SEBAB/FAKTOR
Cabang satu, tulis idea atau point berkaitan punca sesuatu perkara itu boleh berlaku. Jika pelajar mempunyai banyak idea dan contoh dalam punca tersebut, tambah sahaja cabang supaya karangan lebih panjang dan mantap. Mungkin boleh tambah ungkapan menarik (peribahasa, cogan kata dan sebagainya).
Cabang dua kesan atau langkah daripada punca yang buruk itu. Tidak perlu banyak, satu atau dua ayat sudah cukup.
Ayat penegasan merupakan ayat terakhir yang perlu ditulis tetapi tidak perlu dimasukkan dalam rangka cabang.
Ayat penegasan ini perlu ditulis supaya anak-anak didik tidak terpesong.
3) Jika soalan berkaitan KESAN/AKIBAT/IMPAK
Cabang satu, tulis punca, cabang dua, kesan. Jika pelajar mempunyai banyak idea dan contoh dalam kesan tersebut, tambah sahaja cabang supaya karangan lebih panjang dan mantap.
Perlu diingat, ranting bagi cabang ‘kesan’ perlu diperbanyakkan supaya karangan menepati kehendak soalan dan tidak terpesong. Mungkin boleh tambah ungkapan menarik (peribahasa, cogan kata dan sebagainya).
Seterusnya, ayat penegasan merupakan ayat terakhir yang perlu ditulis tetapi tidak perlu dimasukkan dalam rangka cabang.
Ayat penegasan ini perlu ditulis supaya mereka tidak terpesong.
4) Jika soalan berbentuk MANFAAT/KEBAIKAN
Untuk menghuraikan faedah atau kebaikan, cabang satu boleh juga cerita keburukan sesuatu amalan itu jika kita tidak lakukan.
Contohnya faedah amalan berjimat ialah dapat digunakan pada waktu kecemasan. Jadi, kita boleh cerita sedikit di cabang satu jika kita tidak berjimat kita akan susah semasa waktu kecemasan dan berikan contoh.
Cabang dua pula barulah kita huraikan faedah tersebut. Contohnya, ceritakan di cabang dua contoh-contoh tentang wang yang boleh digunakan pada masa kecemasan, apa contoh kecemasan dan banyak lagi.
Jika pelajar mempunyai banyak idea dan contoh dalam isi tersebut, tambah sahaja cabang supaya karangan lebih panjang dan mantap. Mungkin boleh tambah ungkapan menarik (peribahasa, cogan kata dan sebagainya).
Akhir sekali, tulis ayat penegasan seperti biasa.
Ayat Penegasan
Perlu ditulis pada ayat terakhir setiap perenggan (tidak perlu dimasukkan dalam rangka cabang). Mudah sahaja. Boleh ikut cara ini ‘Jelaslah bahawa (masukkan isi) merupakan salah satu (masukkan tajuk soalan).’ Ayat penegasan diibaratkan sebagai tali terakhir untuk mengikat sesuatu bungkusan.
Nota tambahan
Pendahuluan
Dalam pendahuluan jangan cerita pasal tajuk/isi sebab pendahuluan dianggap sebagai kepala dan isi dianggap sebagai badan. Tidak boleh badan masuk dalam kepala, betul tak? Contoh jika tajuk minta PUNCA. Pendahuluan boleh tulis definisi dan kesan.
Jika tajuk minta langkah. Pendahuluan boleh tulis punca dan kesan.
Apabila pelajar sudah pandai, biarkan mereka tambah peribahasa, cogan kata, kata-kata tokoh, definisi dan sebagainya dalam pendahuluan.
Ayat terakhir pendahuluan baru tulis ‘Terdapat beberapa (tajuk)’ untuk menunjukkan adanya kohesi antara perenggan.
Kesimpulan
Berikan harapan
Boleh juga masukkan peribahasa
Jangan buka cerita lagi, anggap sahaja ini perenggan untuk tutup cerita. Tidak perlu panjang, cukup lima hingga enam ayat.
Tegaskan kepada pelajar, ambil masa 10 hingga 15 minit ini sebelum exam untuk buat cabang. Jangan takut tak sempat, sebab percayalah teknik ini membuatkan pelajar tidak lupa idea mereka. Mereka hanya tinggal bina ayat yang lengkap sahaja di atas kertas peperiksaan.
Apabila pelajar sudah cekap dengan kaedah asas ini, latih mereka untuk ‘upgrade’ kualiti karangan dengan menambah cabang untuk ungkapan menarik (peribahasa, cogan kata, dan sebagainya) dan tambah ayat huraian. Hal ini supaya karangan akan lebih panjang dan mantap.