perantisiswa-full-package-01
perantisiswa-full-package-01

Tindakan pelajar jual tablet PerantiSiswa perlu dilihat secara menyeluruh - Haim Hilman

Adlan Farhan Azwan
26 Oct 2022 05:36pm
A
A
A

Naib Canselor, Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Dr Haim Hilman Abdullah memaklumkan tindakan pelajar menjual tablet yang diberikan secara percuma di bawah Program PerantiSiswa adalah tidak wajar dan pihak berkaitan perlu melihatnya secara menyeluruh.

Menurutnya, para pelajar harus memastikan tablet yang diberikan itu dapat dimanfaatkan untuk pembelajaran kerana ia jauh lebih penting berbanding pulangan kecil hasil daripada penjualan tablet tersebut.

“Jadi, saya ingin menyeru agar pelajar-pelajar memastikan tablet yang diterima itu menjadi penyumbang kepada kisah kejayaan pada masa akan datang,” katanya kepada Sinar Bestari ketika ditemui selepas program Kompas Rasuah Busters Edisi Khas PRU15 di Karangkraf, Shah Alam, Selangor, hari ini.

Tablet berjenama Samsung yang diberikan turut disertakan dengan beberapa aksesori lain. Kredit foto: Facebook Annuar Musa

Sebelum itu, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa memaklumkan tindakan akan dikenakan terhadap pelajar yang didapati menjual tablet PerantiSiswa.

Terdapat 14 kes penjualan semula PerantiSiswa telah dikesan setakat ini di seluruh negara dan mereka ini sedang dipantau oleh Kementerian Pengguna dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Program PerantiSiswa merupakan inisiatif Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (K-KOMM) bagi membantu proses pembelajaran pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) dari golongan B40 dengan menyediakan tablet secara percuma.

Dalam pada itu, Haim Hilman berharap agar pihak berkaitan contohnya universiti boleh melihat kepada punca perkara ini berlaku.

Tambahnya, kemungkinan ia berlaku disebabkan kesesakan hidup keterlaluan yang tidak pernah dimaklumkan sehingga mendesak mereka untuk mengambil tindakan menjual tablet tersebut.

“Semestinya tindakan penjualan tablet itu tidak wajar tetapi sekiranya ia dilakukan kerana kesesakan hidup, maka di sinilah universiti memainkan peranan untuk memantau dan membantu mereka.

“Saya yakin dan percaya, mereka adalah anak-anak berpelajaran dan boleh membuat pertimbangan yang wajar tetapi kemungkinan juga ada sebab lain menyebabkan tablet itu dijual.

“Jadi, marilah sama-sama melihat perkara ini dari sudut menyeluruh yang positif dan sekiranya ada kelemahan tertentu yang boleh diperbaiki demi kelangsungan pendidikan anak bangsa,” tuturnya lagi.

Artikel berkaitan

14 kes penjualan tablet PerantiSiswa dikesan, tindakan tegas akan dikenakan

Pelajar UUM luah rasa syukur dan gembira terima PerantiSiswa

“Belajar untuk amanah dan jujur” - Cikgu Mohd Fadli terkilan pelajar ambil kesempatan jual tablet PerantiSiswa


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok