unimap2
unimap2

35 mahasiswa UniMAP terima komputer riba

Nor Azma  Muhamat Laila
06 Jul 2022 01:49pm
A
A
A

PAUH PUTRA - Atas rasa tanggungjawab yang tinggi untuk menghasilkan modal insan berkualiti sebagai pelapis negara, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) meneruskan inisiatif membantu mahasiswa asnafnya melalui pemberian komputer riba.

Ini adalah selaras dengan Program Insentif Khas Kasih UniMAP yang telah dilancarkan pada Julai 2020 khusus bagi membantu mahasiswa asnaf dan juga mereka yang terkesan ekoran pandemik Covid-19 yang melanda negara pada awal 2020.

Naib Canselornya, Profesor Ts Dr Zaliman Sauli berkata, seramai 35 pelajar dipilih untuk menerima bantuan komputer riba bagi memudahkan urusan pembelajaran mereka.

“Mereka ini adalah sebahagian pelajar yang terkesan ekoran pandemik Covid-19 dan pihak universiti terpanggil untuk membantu agar masing-masing boleh menumpukan perhatian dalam pelajaran.

“Pembelian ini menggunakan peruntukan tabung kebajikan dan tabung fisabilillah setelah mendapat kelulusan pihak universiti,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Simbolik Penyerahan Bantuan Komputer Riba di sini.

Turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Dr Mohd Fo’ad Sakdan.

Sementara itu, bagi pelajar dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektronik (FTKEN), Ain Izzati Ilias menyifatkan pemberian ini akan memberikan banyak kemudahan kepadanya berikutan komputer lamanya sudah tidak berfungsi dengan baik.

“Sejak dari semester pertama lagi saya menggunakan komputer riba bapa saudara dan keadaannya sudah agak uzur serta melambatkan kerja-kerja yang perlu dilaksanakan.

“Sebagai anak sulung daripada lima beradik saya ingin memberikan contoh terbaik kepada adik-adik dan pemberian ini akan dimanfaatkan dengan sebaiknya untuk lebih cemerlang dalam bidang pengajian,” katanya yang juga anak seorang pesawah berasal dari Yan, Kedah.

Kenyataan ini disokong rakannya, Lee Ee Ding, pelajar program Kejuruteraan Kimia yang turut mengguna pakai komputer riba lama milik abangnya bagi menyiapkan tugasan yang diberikan oleh pensyarah.

Dia yang juga anak seorang kerani itu sentiasa membuktikan pencapaian akademik yang cemerlang dengan mencatat Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.75 sekalipun mengalami kesukaran menggunakan komputer riba lama yang kadangkala bermasalah.

“Walaupun saya merupakan anak keempat daripada lima adik beradik, saya tetap mahu membanggakan keluarga melalui pencapaian akademik yang cemerlang dan dengan adanya pemberian ini akan menyuntik lebih semangat untuk saya kekal cemerlang dalam pengajian,” katanya.

Tidak ketinggalan, seorang pelajar dari FTKEN, Thev Anand Sivasupramaniam yang kematian ayah sejak 14 tahun berkata, dia terpaksa meminjam komputer riba daripada rakannya demi menyiapkan apa juga tugasan yang diberikan oleh pensyarah.

Pelajar yang berasal dari Taiping, Perak itu tidak mahu membebankan ibunya yang bekerja sebagai operator pengeluaran kilang justeru meminjam daripada rakan adalah perkara yang terpaksa dilakukan demi meneruskan pengajian.

“Saya akan menunggu rakan menyiapkan tugasan terlebih dahulu sebelum meminjam daripada mereka menyebabkan saya amat berterima kasih kepada mereka kerana sentiasa membantu dan memahami kekangan yang dihadapi oleh saya.

“Saya bersyukur kerana terpilih menerima sumbangan komputer riba dan berikrar akan menjaga ia serta memanfaatkan penggunaannya dengan sebaik mungkin selepas berhadapan cabaran menyiapkan tugasan tanpa komputer riba sendiri sebelum ini,” katanya.

Artikel berkaitan

UniMAP dan Nihon Superior meterai MoA, teroka projek penyelidikan bahan penyambungan elektronik

Atlet UniMAP raih emas Kejohanan Olahraga Institusi Pengajian Tinggi

Kejohanan Karate-do Piala Naib Canselor UniMAP 2022 catat rekod


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok