Coretan Menteri Pendidikan buat rakyat Malaysia
Memasuki tahun pertama dalam barisan kerajaan, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek tampil mencoret luahan isi hatinya mengenai dunia pendidikan Malaysia.
Nukilan yang disiarkan di laman sosial rasminya itu, dimulakan dengan perjuangan beliau terhadap isu kemasyarakatan sehinggalah bergelar menteri.
Antara yang dikongsikan Fadhlina seperti berikut:
"Sebelum pilihan raya 2022, saya merupakan seorang aktivis yang memperjuangkan isu-isu berkaitan wanita, kanak-kanak dan kekeluargaan.
Kehidupan profesional saya sebagai seorang peguam syar'ie dan aktivis dalam pelbagai pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) memberikan saya ruang dan peluang untuk mendekati rakyat pelbagai kaum dan agama, memahami isu-isu masyarakat dengan mendalam dan pastinya sangat terkesan dengan drama kehidupan yang benar-benar berlaku di depan mata.
Saya juga merupakan ibu kepada enam orang anak yang turut melalui sistem pendidikan yang sama seperti anak-anak lain di Malaysia.
Pengalaman sebagai ibu dan aktivis sepanjang lebih 25 tahun sedari zaman mahasiswa sehingga ke hari saya mengangkat sumpah sebagai Menteri Pendidikan pada 3 Disember 2022, menjadikan diri saya sebagai diri saya pada hari ini.
Setahun telah berlalu dan alhamdulillah, saya masih diberikan kepercayaan penuh oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk terus menerajui Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Saya amat bersyukur dan berterima kasih kepada semua guru, pegawai dan anggota pelaksana KPM atas khidmat yang penuh dedikasi dan iltizam apabila amanah ini dimandatkan kepada saya. Tanpa komitmen dan kerjasama baik semua, mana mungkin inisiatif KPM dapat dilaksanakan dengan baik dan teratur.
Ada dua perkara yang saya sering tekankan apabila memberi ucapan atau motivasi di mana-mana premis sama ada sekolah atau agensi berkaitan pendidikan.
Pertama, pendidikan ialah nadi pembangunan bangsa dan negara. Lantaran itu, pendidikan yang efektif berupaya mencorakkan minda dan kualiti masyarakat sesebuah peradaban.
Kedua, makam yang tertinggi dalam pendidikan ialah cinta; cinta kepada guru, cinta kepada murid dan cinta kepada ilmu. Justeru, hasrat ini saya terjemahkan kepada Pendidikan Manusiawi, iaitu pendidikan yang memanusiakan manusia.
Dalam erti kata lain meletakkan kemuliaan insan atau karamah insaniah itu sebagai matlamat utama pendidikan, menepati hasrat yang terkandung dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan, iaitu dalam konteks mengukuhkan pendidikan karakter bangsa Malaysia.
Hatta, dalam gagasan Pendidikan Manusiawi saya memperkenalkan 7 Teras Nadi Keunggulan KPM yang merangkumi tumpuan utama KPM atau intervensi pembaharuan dalam sistem pendidikan kita. Tumpuan ini memfokuskan tiga dimensi utama dalam ekosistem pendidikan, iaitu murid, guru dan infrastruktur.
Saya sering membaca soalan-soalan daripada rakyat; Kenapa tidak ubah sistem pendidikan? Kenapa kualiti pendidikan kita tidak ada intervensi?
Setiap perkara yang dirancang perlu ada pelan terperinci dan berperingkat. Dalam pendidikan, dimensi yang melengkapi ekosistemnya ialah perkara asas, iaitu murid, guru dan infrastruktur.
Tahun ini fokus KPM adalah untuk mereformasi perkara asas ini seperti isu sekolah daif, tandas, kebajikan serta sikap.
Ketiga-tiga dimensi ini perlu ada anjakan baharu dari aspek kemudahan, semangat, motivasi atau perwatakan sebelum kita bergerak lebih intensif kepada dasar dan sistem pendidikan, yang akan saya gerakkan tahun hadapan, Insya-ALLAH.
Walau bagaimanapun, usaha ini telah pun saya mulakan pada penghujung tahun ini, seperti contoh pelancaran Dasar Pendidikan Digital Negara, Pelancaran Kerangka Kurikulum 2027 serta Diskusi Meja Bulat Bersama Pemegang Taruh Pendidikan untuk meningkatkan kualiti pendidikan negara seperti yang dihasratkan oleh Perdana Menteri.
Sekali lagi saya ucapkan terima kasih rakyat Malaysia atas sokongan anda kepada KPM dan teruslah memberikan pandangan serta sumbang saran tuan-tuan dan puan-puan kepada KPM demi martabat pendidikan negara."