YTFM
YTFM

Haluan Rakan Guru bantu naik taraf pendidikan komuniti orang asli dan B40

Adlan Farhan Azwan
19 Aug 2022 11:50am
A
A
A

Selari dengan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) yang menekankan pembangunan golongan berpendapatan rendah (B40) dan orang asli, Yayasan Teach For Malaysia (YTFM) telah melancarkan Haluan Rakan Guru untuk program Felo YTFM, baru-baru ini.

Haluan Rakan Guru merupakan sebuah program yang memfokuskan pada pemahaman mengenai sistem pendidikan untuk menyumbang kepada murid-murid sekolah yang terdiri daripada golongan berpendapatan rendah (B40).

YTFM telah menempatkan 27 orang Felo Teach For Malaysia (TFM) di sekolah-sekolah Kementerian Pendidikan (KPM) yang berkeperluan tinggi di dua daerah negeri Perak iaitu Kuala Kangsar dan Hulu Perak.

Ini merupakan sebuah kejayaan yang membanggakan memandangkan Felo Kohort ke-10 ini merupakan yang pertama ditempatkan di sekolah-sekolah komuniti orang asli dan sekolah rendah sejak penubuhannya pada tahun 2012.

Ketua Pegawai Eksekutif YTFM, Chan Soon Seng berkata, komuniti orang asli mempunyai keperluan pendidikan yang sangat tinggi, dan mereka adalah antara komuniti yang paling terkesan akibat pandemik Covid-19 kerana masalah perhubungan di kawasan luar bandar.

“Penutupan sekolah, jurang digital, kurikulum yang terlalu bercita-cita tinggi dan kekurangan guru sepanjang dua tahun lalu telah menambah jurang pencapaian pelajar.

“Oleh itu, penekanan terhadap ekuiti dan pemulihan pendidikan adalah penting memandangkan murid-murid sudah kembali ke sekolah,” katanya dalam satu kenyataan, baru-baru ini.

Melalui haluan ini, felo-felo akan bekerja secara langsung dengan YTFM dan ditempatkan di sekolah-sekolah untuk bekerjasama dengan guru-guru bagi menyediakan suasana pembelajaran yang sesuai kepada semua murid.

Felo TFM akan memberikan sokongan tambahan sepenuh masa selama dua tahun kepada guru-guru sedia ada di sekolah atau melalui inisiatif-inisiatif di peringkat sekolah dan komuniti.

Selain itu, mereka juga akan membantu menyediakan sokongan pemulihan di dalam kelas untuk menangani kesan gangguan pembelajaran disebabkan pandemik Covid-19.

Pengendalian program selepas sekolah dan inisiatif yang melibatkan masyarakat bagi memenuhi keperluan pendidikan di sekolah dan komuniti turut dilaksanakan oleh Felo TFM.

Artikel berkaitan

Aplikasi Sekolah Enuma galak pembelajaran interaktif, bantu 600 murid B40 5 hingga 8 tahun

Jelajah Pendidikan Keluarga Malaysia bantu pelajar luar bandar atasi masalah kemasukan universiti

Program WOW babitkan penyertaan 400 pelajar, sasar golongan B40 dan Orang Asli sebagai peserta


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok