


Hidap penyakit mixed germ cell tumour sejak 9 tahun, Nor Ariana sedih dipandang sinis
Sering dipandang sinis dan menerima soalan tidak masuk akal apabila anak sulung daripada dua beradik itu kelihatan seperti wanita mengandung membuatkan Siti Nazirah Razali, 35, menahan kesedihan memikirkan ujian dihadapi anaknya, Nor Ariana Mohd Shahrul Afendi, 12.
Suri rumah itu menegaskan bahawa anaknya tidak mengandung malah menghidap penyakit mixed germ cell tumours (yolk sac and teratoma) iaitu melibatkan ketumbuhan yang mengandungi sel rambut dan gigi sehingga menyebabkan perutnya membuncit.
Lebih mengejutkan, Siti Nazirah berkata, ada pihak yang berani menanyakan soalan tidak menjaga hati sehingga membuatkan dirinya terkedu serta menahan kesedihan.
Nor Ariana dikesan menghidap penyakit itu apabila perutnya kelihatan seperti mengeras.
“Bila saya tanya, Nor Ariana memberitahu dia tidak merasa sebarang sakit.
“Sehinggalah satu hari dia mengadu sakit perut seperti memulas.
“Kami bawa ke klinik dan apabila diperiksa didapati dia menghidapi sembelit. Doktor hanya memberikan ubat sembelit,” katanya.
Tambah Siti Nazirah, episod duka itu bermula apabila Nor Ariana sekali lagi diserang sakit perut yang memulas dan sukar untuk membuang air besar, sebelum ketumbuhan mula dikesan.
Ujarnya, hasil pemeriksaan lanjut di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) mengesahkan anak mereka menghidap kanser.
Sejurus menerima khabar itu, dia dan suami, Mohd Shahrul Adendi Mat, 38, hilang kata-kata dan sedih mengenangkan nasib gadis berkenaan.