KPM melaksanakan tujuh langkah bagi memastikan isu beban tugas guru dapat ditangani segera - Fadhlina.
KPM melaksanakan tujuh langkah bagi memastikan isu beban tugas guru dapat ditangani segera - Fadhlina.

KPM laksana 7 langkah atasi beban tugas guru

ROSHLAWATY MD RAIEH
28 Feb 2023 06:26pm
A
A
A

Isu beban tugas guru yang berlebihan bukanlah satu perkara baharu. Ia bagaikan akan berterusan sekiranya tiada solusi terbaik dalam menjamin kesejahteraan cikgu.

Justeru, Kementerian Pendidikan (KPM) mengambil langkah menyemak semula tugas dan tanggungjawab guru dengan melaksanakan penambahbaikan ke atas fungsi pengurusan di sekolah melalui Modul Tadbir Urus Sekolah (MySG) yang diperkenalkan pada 2021.

Dalam MySG itu, terdapat empat komponen pengurusan sekolah iaitu Pengurusan dan Pentadbiran; Kurikulum; Hal Ehwal Murid dan Kokurikulum.

Menurut Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, KPM telah bersetuju untuk melaksanakan tujuh langkah segera bagi memastikan isu beban tugas guru dapat ditangani seperti yang dimaklumkan dalam kenyataan media sebelum ini iaitu Pelaksanaan Langkah Segera Ke Arah Kesejahteraan Guru bertarikh 17 Februari 2023.

Kata Fadhlina, tujuh langkah tersebut terdiri daripada

1) Memansuhkan sebarang bentuk pertandingan, sambutan atau majlis di semua peringkat yang tidak memberikan impak besar terhadap pembelajaran murid dan hanya menambahkan beban tugas guru.

2) Mengurangkan kekerapan semakan elemen pengurusan sekolah Standard Kualiti Pendidikan Malaysia (SKPM) yang melibatkan guru kepada setahun sekali sahaja.

3) Menetapkan waktu mengunci masuk rekod kehadiran murid yang lebih fleksibel kepada guru iaitu 12 tengah hari untuk sesi pagi dan 5 petang untuk sesi petang bagi mengelakkan kesesakan dalam sistem.

Artikel Berkaitan:

4) Pelantikan pengawas peperiksaan awam yang dikendalikan oleh Lembaga Peperiksaan (LP) dan Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) terbuka kepada individu selain guru yang sedang berkhidmat seperti pesara kerajaan, pelajar Institut Pendidikan Guru (IPG) dan institut pengajian tinggi (IPT) tetapi perlu memenuhi kriteria yang ditetapkan.

5) Mengehadkan penganjuran sambutan Hari Guru Tahunan kepada peringkat kebangsaan dan sekolah sahaja.

6) Menetapkan ringkasan Rancangan Pelajaran Harian (RPH) di peringkat KPM bagi memastikan guru kembali memenuhi keperluan Surat Pekeliling Ikhtisas KPM Bil 3/1999 yang merangkumi elemen objektif, pengajaran dan refleksi.

7) Memperkukuh autonomi guru dalam perancangan pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) serta pentaksiran bilik darjah (PBD) dengan menjadikan Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) sebagai rujukan.

Fadhlina berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Tuan Nurul Amin Hamid (Padang Terap) yang mengemukakan soalan apakah usaha kerajaan dalam mengurangkan lambakan beban tugasan guru sehingga menyukarkan mereka untuk fokus kepada tugasan hakiki mengajar anak murid.

Soalan dan jawapan tersebut telah diketengahkan ketika sesi Pertanyaan-Lisan Menteri di Dewan Rakyat pada Selasa.

Sementara itu, KPM melalui Jawatankuasa Mengkaji Beban Guru akan terus meneliti inisiatif yang boleh membantu meringankan beban guru melalui perbincangan berterusan dengan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Majlis Pengetua Sekolah Malaysia (MPSM) dan Majlis Guru Besar (MGB).

“Kami akan memastikan kesejahteraan guru terjamin dan fokus utama mereka kepada PdP dapat dioptimumkan,” tutur Fadhlina.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok