Sikap ‘four nos’ generasi muda di China membimbangkan
Peranan generasi muda dalam membentuk negara merupakan satu falsafah nasional yang universal sehingga tidak dapat dinafikan mana-mana pihak lagi.
Dilengkapi tubuh badan sihat dan idea yang segar menjadikan rata-rata mereka dianggap tonggak dan penentu nasib bangsa pada masa akan datang.
Justeru, sebarang masalah atau dilema menimpa mereka sudah pasti menjadi isyarat tidak baik buat masa hadapan sesebuah masyarakat.
Terbaharu, hasil kajian dari negara China mendapati ramai generasi muda di sana menghadapi masalah sikap ‘four nos’ iaitu tidak mahu memiliki hubungan, berkahwin, membeli rumah dan mempunyai anak.
Menurut Jurucakap Biro Statistik Kebangsaannya, Fu Linghi, ia berpunca daripada faktor pendapatan yang tidak stabil dalam kalangan golongan berkenaan.
Hujah yang dikemukakan beliau itu dilihat amat kuat selepas satu sesi temu bual dilakukan oleh siaran televisyen tempatan dengan seorang pemuda berusia dalam lingkungan 30-an.
Ujar lelaki tersebut, pemilikan aset yang tinggi nilai harganya itu membuatkan segala usaha kerasnya tidak mendatangkan sebarang faedah.
“Ramai orang mengharapkan pasangan mereka memiliki rumah sendiri tetapi harga hartanah sangat tinggi,” ujarnya yang di petik dari portal Asia Times pada Khamis.
Tambah pemuda itu, dengan kos sara hidup tinggi dan pendapatan yang tidak stabil, memiliki anak hanya akan membuatkannya lebih menderita.
Pada masa yang sama, satu laporan dikemukakan Liga Pemuda Komunis Guangzhou menyatakan hasil temu bual terhadap 15,501 pelajar kolej mendapati seramai 1,215 daripada mereka atau lapan peratus menunjukkan sikap ‘four nos’ itu.
Kajian berkenaan dibuat selepas biro statistik kebangsaan republik itu melaporkan kadar pengangguran bagi remaja berusia 16 hingga 24 tahun di tanah besar berkenaan telah mencapai 20.8 peratus bagi kawasan bandar.
Sementara itu, Institut Kewangan dan Perbankan Akademi Sains Sosial China menyatakan ramai generasi muda yang berpendidikan sukar mendapat pekerjaan kerana banyak sektor termasuk hartanah dan internet terjejas dengan peraturan kawal selia kerajaan sejak beberapa tahun lalu.
“Meskipun kadar pengangguran telah turun tahun ini berbanding sebelumnya, ia masih berada pada paras yang tinggi,” kata penyelidiknya, Zhang Chong.
Rentetan daripada isu berkenaan, ramai pihak telah mencadangkan supaya kerajaan menelusuri dan memahami masalah tersebut bagi mencari jalan penyelesaian.