no image

Maia Ong kini berguru dengan atlet gimrama negara, Durratun Nashihin

Rasyidah Zulkifi
31 Oct 2022 05:54pm
A
A
A

Bukan mudah bagi seorang atlet gimrama yang namanya sedang meningkat naik untuk menguruskan masa, tambahan lagi jika masih di bangku sekolah.

Banyak yang perlu dikorbankan pada usia muda di kala ramai rakan sebaya menghabiskan masa dengan menonton wayang, berkelah dan bercuti.

Namun, mereka ini setiap hari perlu menjalani latihan kecergasan bagi mengoptimumkan prestasi persembahan sebagai seorang ahli gimnas.

Ini penting bagi meningkatkan fleksibiliti badan memandangkan sukan ini memerlukan aspek kelenturan pada tahap maksimum.

Sehinggalah umur mencecah 18 tahun dan ke atas, barulah berpeluang menghabiskan masa seperti remaja lain.

Bagi Maia Ong Xiao Han, 16, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Utama Damansara 3, Petaling Jaya, Selangor, mengakui saat mudanya hanya tertumpu pada kejohanan gimnastik yang disertainya.

Lebih mesra disapa Maia, dia meluahkan kesyukuran kerana pengetua dan guru-guru amat memahami dan turut memberikan kelonggaran untuk mengharumkan nama sekolah sehingga ke peringkat antarabangsa.

Aliran Sains Tulen

Walaupun pelajar aliran Sains Tulen ini memikul tanggungjawab yang berat sebagai pelajar dan atlet, buat masa ini dia masih mampu menempuhinya.

“Rahsianya adalah membuat jadual waktu supaya tidak membazir masa, pada masa sama sentiasa mengingatkan diri agar sentiasa berdisiplin.

“Keluarga selalu beri galakan, tidak dilupakan pengetua, guru-guru dan rakan-rakan banyak memberi sokongan yang tidak berbelah bahagi.

“Jika saya tidak hadir ke sekolah kerana mewakili negara dalam pertandingan gimrama, mereka akan membantu saya dalam pelajaran supaya tidak tercicir,” katanya ketika ditemui Sinar Bestari, baru-baru ini.

Maia bersama ibu tercinta

Berguru dengan bekas ratu gimrama negara

Maia merupakan antara atlet gimrama yang bertuah kerana kini berada di bawah bimbingan bekas atlet gimrama negara, Durratun Nashihin Rosli, 34.

Menurutnya, penglibatan dalam sukan gimnastik ini bermula sejak dia masih kecil dan belum bersekolah.

“Ketika itu saya berumur 5 tahun dan mula berlatih sebagai atlet gimrama bersama pasukan negara semasa berumur 13 tahun.

“Namun, saya mula menceburkan diri dalam pertandingan sejak berumur 7 tahun dan pertama kali bertanding di luar negara ketika berumur 9 tahun di Osaka, Jepun.

“Seterusnya, saya mewakili negara dalam beberapa pertandingan antarabangsa seperti World Cup, Asia Championship, Sukan SEA, Junior World Championships dan Islamic Games,” ujarnya yang menjalani latihan enam hari seminggu.

Bercerita lanjut, pada hari Isnin hingga Jumaat, dia akan menjalani latihan di Total Gymnastique, Petaling Jaya, Selangor, selepas tamat waktu persekolahan bagaimanapun buat masa ini, dia banyak menjalani latihan di Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

“Selain gimrama, saya juga pernah melibatkan diri dalam sukan bola tampar dan merentas desa dalam Majlis Sukan Sekolah Negeri (MSSN).

“Begitupun, saya lebih kepada sukan gimrama kerana terpilih untuk bersama pasukan kebangsaan negara.

“Tambahan sejak kecil minat ini didorong dengan suka menonton pertandingan gimrama yang dipertandingkan,” katanya yang juga merupakan seorang pelajar cemerlang dalam akademik.

Ditanya mengenai cita-cita, ujarnya, buat masa ini dia hanya ingin belajar bersungguh-sungguh bagi mendapatkan keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang akan diduduki pada tahun depan.

“Saya memilih aliran Sains Tulen kerana berminat untuk melibatkan diri dalam bidang kesihatan seperti menjadi seorang doktor.

“Sudah tentu saya juga ada memikirkan untuk menjadikan sukan gimrama sebagai kerjaya,” jelasnya.

Buat masa ini, Maia mahu menumpukan perhatian dalam latihan gimnastik secara berterusan.

“Saya berharap akan terus cemerlang bukan sahaja dalam sukan gimrama tetapi juga dalam pelajaran.

“Saya menyeru lebih ramai pelajar agar menceburi sukan ini yang menjamin kecergasan tubuh badan,” katanya yang mendapat pingat emas dalam Sukan SEA 2022 Hanoi, Vietnam, baru-baru ini.

INFO

Pencapaian dan sumbangan

  1. Pingat emas, Sukan SEA Hanoi Vietnam 2022
  2. 5th Islamic Solidarity Games 2022
  3. AGF Trophy 2022 Rhythmic Gymnastic World Cup Baku, Azerbaijan

    - Latihan berkumpulan 5 gelung tempat ke-11

    - Latihan berkumpulan 3 riben & 2 bola tempat ke-10

    - Latihan berkumpulan keseluruhan tempat ke-10

  4. 21st Irina Deleanu Cup Bucharest, Romania
  5. 1st Malaysian Rhythmic Gymnastic Group Exercise Championship
  6. Kejohanan Gimnastik Berirama Majlis Sukan Sekolah Selangor 2021

    - Individu keseluruhan, tempat ke-5

    - Belantan tempat ke-5

    - Bola tempat ke-5

    - Gelung tempat ke-5

    - Tanpa alat tempat ke-5

  7. Rhythmic Gymnastic International Friendship Cup Mexico Online 2021

    - Bola, johan

    - Belantan, johan

    - Tanpa alat, johan

Artikel berkaitan 

Atlet boling muda negara kongsi 9 teknik taktikal boling

Hasil berlatih tanpa jemu, atlet SeMShah akhirnya bergelar raja pecut daerah

Guna bola reput, pakai jersi lama berlatih ragbi, tak sangka sekolah ini mampu muncul johan


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok