Untitled design (14)
Untitled design (14)

Raih kejuaraan di luar negara pada usia muda

Azleenda Sahaludin
07 Dec 2022 09:25am
A
A
A

Siapa tidak kenal sukan bola sepak yang menjadi kegemaran ramai di seluruh dunia?

Lihat sahaja, kemeriahan sambutan Piala Dunia FIFA 2022 di Qatar baru-baru ini.

Ia membuktikan sukan ini mampu menyatukan segenap lapisan masyarakat dari latar belakang yang berbeza.

Di Malaysia, sukan ini telah diperkenalkan pada peringkat akar umbi lagi antara umur 6 hingga 7 tahun bagi memupuk minat dan mencungkil bakat baharu.

Selain sekolah bertanggungjawab menubuhkan pasukan bola sepak, terdapat banyak akademi diwujudkan untuk memberi peluang kepada mereka yang berminat menjadi pemain dalam sukan nombor satu dunia itu.

Akademi terbabit diibaratkan sebagai pembangunan sokongan dalam melatih pemain dari peringkat akar umbi sebagai usaha menggilap potensi generasi muda.

Selain itu, terdapat beberapa akademi bola sepak yang terkenal di Selangor antaranya TSS FC yang dimiliki oleh Tengku Shakirinal Sulaiman Shah.

Akademi ini telah melahirkan pemain-pemain bola sepak yang membawa nama negara ke persada dunia.

Antaranya Adam Nurfakrullah Mohd Fadli dan Muhammad Fareez Daniel Noorizwani Hafiz.

Adam Nurfakrullah Mohd Fadli

Adam Nurfakrullah Mohd Fadli.

Kejayaan pemain berusia 12 tahun ini meraih kejuaraan di luar negara merupakan satu pencapaian membanggakan.

Adam Nurfakrullah Mohd Fadli yang mesra disapa Adam berkata, pencapaian dikecapi menjadi momen indah bergelar pemain bola sepak.

Apatah lagi katanya apabila membawa nama baik akademi TSS FC, sekolah dan negara sehingga ke peringkat antarabangsa.

“Pencapaian tersebut boleh dijadikan sebagai batu loncatan bergelar pemain profesional yang handal pada masa depan.

“Salah satu kejuaraan yang saya raih ialah Piala Dana Cup Hjorring di Denmark pada Ogos lalu,” ujarnya ketika ditemui, baru-baru ini.

Dia yang bermain posisi sayap kanan dan penjaga gol memberitahu, Denmark bukanlah sebuah negara yang pernah dijejakinya atas tiket sebagai pemain bola sepak.

Tuturnya, dia turut berpeluang menunjukkan aksi di beberapa negara lain termasuk Thailand, Indonesia, Singapura dan Sweden.

Pelajar Tahun Enam, Sekolah Rendah Agama Intergrasi Seksyen 19, Shah Alam, itu menambah, dia juga mendapat sokongan ibu bapa dalam usaha mencapai cita-cita bergelar pemain bola sepak negara.

Selain itu, Adam menjelaskan sukan sama sekali tidak menjejaskan pembelajarannya di sekolah.

“Latihan selalunya empat kali seminggu, manakala ulangkaji pelajaran pula pada hari Selasa dan Khamis bermula pukul 5 petang hingga 7 malam.

“Saya mengimbangi waktu belajar dan latihan untuk memastikan kejayaan diraih dalam dua bidang ini,” jelasnya

Muhammad Fareez Daniel Noorizwani Hafiz

Muhammad Fareez Daniel Noorizwani Hafiz.

Muhammad Fareez Daniel Noorizwani Hafiz yang merupakan pemain bernaung di bawah akademi sama bersama Adam memberitahu, minat dalam bola sepak bermula seawal usianya 5 tahun.

Minat mendalam terhadap bola sepak tercetus selepas melihat abang saudaranya yang juga merupakan pemain bola sepak negeri Kedah bermain sukan itu.

Dia yang lebih mesra dengan panggilan Fareez berkata, sejak itu dia mula berjinak-jinak bermain sukan tersebut sebelum menyertai pasukan di sekolah.

“Saya mula aktif bermain bola sepak ketika di Tahun Dua untuk pasukan sekolah dan menyertai akademi bola sepak tahun ini,” katanya.

Anak kedua daripada dua beradik itu memberitahu, pencapaian cukup membanggakan apabila dia dapat menjaringkan gol ketika bermain di Thailand pada 2019.

“Pada 2019, dua kali saya dan Adam pergi ke Thailand menyertai Pattaya Cup dan Bangkok Cup.

“Kami berjaya menjadi johan dan tempat ketiga untuk dua kejohanan itu,” tambahnya.

Menurut pemain yang bermain di posisi tengah itu, terdapat beberapa tip yang diamalkan antaranya menjaga pemakanan dan berdisiplin.

“Dua tip ini amat penting kerana sekiranya kita tidak menjaga pemakanan ia akan mengganggu stamina pemain.

“Bagi disiplin pula setiap pemain perlu memiliki disiplin yang tinggi agar dapat memberi imej positif,” ujarnya.

Jelas Fareez, sama seperti Adam, dia merancang untuk meneruskan impiannya menjadi pemain bola walaupun akan ke sekolah menengah pada tahun depan.

Pencapaian Adam dan Fareez

Peringkat Sekolah / Petaling Perdana / Selangor bawah 12 tahun;

  1. KATMO , SK HICOM, SHAH ALAM (best 8) 2019
  2. MSSD, Petaling Perdana (tempat ke-3) 2020
  3. MSSD, Petaling Perdana (tempat ke-3) 2022
  4. MSSM, Kedah Darul Aman (tempat ke-3) 2022
  5. LATZ, Petaling Perdana (johan) 2022
  6. Piala SuperMokh, Gambang, Pahang (johan) 2022
  7. Karnival Bola Sepak MBSA, Shah Alam (best 8) 2022
  8. Liga penalti MBSJ Siri 1, Subang Jaya (tempat ke-3) 2022
  9. Liga penalti MBSJ Siri 2, Subang Jaya (johan) 2022
  10. Piala DYTM Raja Muda, Petaling Perdana, Selangor (November - Disember 2022)  Peringkat Kebangsaan Bawah 12 tahun (Kelab TSS FC)
  11. Langkawi Open Football, Kedah (tempat ke-2) 2022
  12. KL Cup, Setia Alam, Selangor (johan) 2022
  13. Milo Cup, JSA, Selangor (johan) 2022
  14. Borneo Cup, Sabah (johan) 2022
  15. Yakult Cup, Negeri Sembilan (johan) 2022
  16. Penang Youth Cup, Pulau Pinang (johan) 2022
  17. Liga Suparimau, Klang Valley (johan ) 2022
  18. Setia Alam Open Football, Selangor (tempat ke-3) 2022

    Peringkat Antarabangsa bawah 12 tahun (Kelab TSS FC)

  19. Dana Cup, Denmark (johan) 2022
  20. Gothia Cup, Sweden (johan) 2022
  21. Pattaya Cup, Thailand (johan) 2019
  22. Bangkok Cup, Thailand (tempat ke-3) 2019
  23. Farmel Cup, Indonesia (johan) 2019
  24. Singa Cup, Singapura (best 8) 2019
  25. Pattaya Cup, Thailand - Disember 2022

Artikel berkaitan

Baru 30-an, sumbangan Cikgu Tarmizi dalam bola sepak SK Bukit Mutiara membanggakan!

Kecemerlangan aksi Akhyar Rashid, hasil pembangunan bola sepak SMK Mergong

ICFL anjur kejohanan bola sepak B16 peringkat kebangsaan


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok