Teknik ‘flipped learning’ jadi pilihan guru, tidak sabar hendak praktik di sekolah nanti!
Pendekatan pengajaran abad ke-21 (PAK21) menerusi ‘flipped learning’ mula menjadi pilihan para guru pada masa kini.
Ini kerana, teknik tersebut dilihat sangat menyeronokkan dan mampu menarik perhatian pelajar untuk terus memberi tumpuan penuh kepada pengajaran selain penyampaian ilmu yang lebih mudah dan efektif.
Guru Cemerlang Hifz Al-Quran, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Kedah, Ustaz Ismail Salleh berkata, ‘flipped learning’ ialah pendekatan pedagogi PAK21 mengikut model pengajaran Inquiry yang diperkenalkan oleh Joseph Schwab pada tahun 1960.
“Dalam bahasa yang mudah, guru membekalkan tugasan kerja rumah kepada pelajar seperti membuat pembacaan awal sesuatu topik dalam buku teks, menonton video, membuat peta minda dan menjawab soalan kuiz online supaya setiap pelajar dapat mengetahui pengetahuan awal setiap topik.
“Dengan erti kata lain, pelajar membuat pembelajaran kendiri (self regulated learning) sebelum bimbingan interaktif secara dua hala di dalam kelas,” katanya dengan menambah ketika berada di dalam kelas, guru menggunakan sepenuhnya sesi perbincangan, pentaksiran dan aktiviti pengukuhan bersama pelajar secara individu.
Seiring dengan keperluan kompetensi global, setiap pelajar perlu menguasai Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT), berdasarkan hierarki Taksonomi Bloom oleh Lori Anderson (1900).
Di antara pendekatan pengajaran PAK21 yang boleh merangsang KBAT di dalam kelas ialah role-plays, think pair shere, 3 stray 1 stay, round table, gallery walk dan sebagainya.
Ramai guru mungkin sudah membuat ‘flipped learning’ dengan meminta pelajar membaca teks di luar kelas, menonton video atau menyelesaikan tugasan, tetapi untuk melibatkan diri dalam ‘flipped learning’, guru mesti mengikuti empat elemen utama FLIP iaitu
1) Flexible Environment
Guru hendaklah mewujudkan suasana pembelajaran yang fleksibel di mana guru memberi ruang kepada pelajar secara bebas mengumpul maklumat dan meneroka ilmu di luar kelas tanpa batasan masa dan di mana sahaja.
Selepas itu guru berperanan membimbing aktiviti kumpulan dan individu seterusnya memberikan pengukuhan dengan suasana pembelajaran yang dinamik.
2) Learning Culture
Guru hendaklah menukarkan pengajaran kaedah tradisional iaitu berpusatkan guru di mana guru adalah sumber maklumat utama dengan mengalihkan peranan kepada pendekatan berpusatkan pelajar di mana pelajar bertindak sebagai pengajar sambil dibimbing dan diberi feedback oleh guru.
Oleh itu setiap arahan mestilah jelas dan mengikut tahap keupayaan pelajar untuk mencari maklumat di luar kelas.
Waktu dalam kelas dikhaskan untuk meneroka topik dengan lebih mendalam dan mewujudkan peluang pembelajaran yang dinamik. Hasilnya, pelajar terlibat secara aktif dalam penerokaan ilmu dan pembelajaran pelajar akan lebih bermakna.
3) Intentional Content
Guru menentukan dan memberikan bahan pengajaran yang bersesuaian untuk diterokai oleh pelajar di luar bilik darjah sebelum masuk kelas bagi menyediakan pelajar memahami konsep asas setiap topik pengajaran dan mengikut tahap pelajar keupayaan pelajar.
Guru perlu memaksimumkan waktu kelas untuk mengadaptasi kaedah pembelajaran aktif yang berpusatkan pelajar
4) Professional Educator
Guru selaku pembimbing utama perlu membuat penilaian berterusan, merekod data dan memberi maklum balas yang sesuai kepada pelajar, selain menerima kritikan yang membina secara profesional. Guru juga berperanan membuat professional learning community (PLC) untuk membuat perbincangan bersama guru lain demi menambah baik amalan pengajaran
Antara kelebihan ‘flipped learning’ ialah
1) Mempersiapkan pelajar kepada pengetahuan asas sebelum masuk kelas.
2) Pelajar dapat berinteraksi dan berkolaboratif secara aktif dua hala bersama rakan dan guru di mana guru berperanan sebagai pembimbing kerana tugas mengajar telah diambil alih oleh pelajar dengan menonton video guru sebelum kelas bermula berbeza dengan pendekatan kelas secara tradisional yang hanya lebih kepada pengajaran sehala.
Ini kerana pelajar bebas untuk meneroka dan belajar secara kendiri di mana-mana sahaja berdasarkan kemampuan pelajar tersebut.
3) Pendekatan ini memberi lebih banyak masa kepada guru untuk membimbing pelajar dalam aktiviti inkuiri dan penyelesaian masalah (inquiry-based and project-based learning) yang dapat mengukuhkan KBAT pelajar serta membolehkan guru melaksanakan pentaksiran bilik darjah dengan lebih efektif.
4) Berupaya membantu mereka untuk menjadi seorang yang berdikari dalam pembelajaran, seterusnya dapat mengaplikasikan apa yang dipelajari itu di luar bilik darjah.
5) Menggalakkan ‘independent learning’ di rumah dan ‘collaborative learning’ di dalam kelas.
6) Meningkatkan keupayaan pelajar untuk bekerja secara individu.
7) Pelajar dapat mengoptimumkan platform media sosial seperti WhatsApp, YouTube dan Instagram ke arah pembelajaran selain hanya bersosial.
8) Guru dapat menumpukan perhatian yang lebih kepada pelajar yang kurang memahami setiap topik pengajaran.
9) Hasilnya pembelajaran akan menjadi lebih bermakna disamping hasil pembelajaran akan tercapai dengan lebih efektif dan menyeronokkan.
Selamat mengaplikasikan pendekatan ‘flipped learning’ dalam kaedah pengajaran dan pemudahcaraan (PdPC) guru.
Artikel berkaitan
Flipped Classroom mudahkan pembelajaran pelajar, Cikgu Hailmi kongsi keistimewaanya!
5 permainan hilangkan mengantuk pelajar ketika di dalam kelas, guru-guru boleh cuba praktikkan
Seronoknya belajar, 6 alat bantuan mengajar digital untuk guru dan pelajar
Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok