Bengkel Pengintegrasian Teknologi Pendidikan Dalam Proses Pembelajaran Modern Classroom 2023 di Sektor Sumber Teknologi Pendidikan Negeri Selangor, Shah Alam, Selangor baru-baru ini.
Bengkel Pengintegrasian Teknologi Pendidikan Dalam Proses Pembelajaran Modern Classroom 2023 di Sektor Sumber Teknologi Pendidikan Negeri Selangor, Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

400 guru sertai bengkel kemahiran teknologi Modern Classroom 2023

NADZARUL AMIR ZAINAL AZAMNADZARUL AMIR ZAINAL AZAM
21 Feb 2023 05:11pm

Kemajuan teknologi pendidikan membolehkan pembelajaran menerusi pelbagai kemudahan teknologi diadaptasi dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP) lebih efektif.

Dalam usaha mengintegrasikan teknologi pendidikan, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor telah mengadakan Bengkel Pengintegrasian Teknologi Pendidikan Dalam Proses Pembelajaran Modern Classroom 2023 di Sektor Sumber Teknologi Pendidikan Negeri Selangor, Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Bengkel tersebut disertai seramai 400 guru melalui 10 siri bagi menguasai kemahiran teknologi lebih tinggi untuk meningkatkan kecekapan dalam memodernisasi PdP.

Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan, Sektor Dasar dan Kurikulum Kementerian Pendidikan (KPM), Dr Ahmad Rafee Che Kassim berkata, para guru memainkan peranan penting dalam menentukan haluan pembelajaran murid.

Justeru, beliau menambah, latihan berbentuk kemahiran baru (reskilling) dan meningkatkan kemahiran sedia ada (upskilling) seperti Bengkel Pengintegrasian Teknologi Pendidikan Modern Classroom selari dengan matlamat memodenkan amalan pengajaran serta pendidikan digital.

Seramai 400 guru melalui 10 siri menyertai bengkel tersebut bagi menguasai kemahiran teknologi lebih tinggi untuk meningkatkan kecekapan dalam memodernisasi PdP
Seramai 400 guru melalui 10 siri menyertai bengkel tersebut bagi menguasai kemahiran teknologi lebih tinggi untuk meningkatkan kecekapan dalam memodernisasi PdP

Artikel Berkaitan:

“Konsep pembelajaran dalam modern classroom ini akan memberi pengalaman pembelajaran yang interaktif bagi menyumbang ke arah proses PdP lebih efektif.

“KPM memainkan peranan penting untuk melestarikan ekosistem pendidikan selari dengan pembangunan pendidikan melalui platform pendidikan digital sedia ada iaitu Digital Educational Learning Initiative Malaysia (DELIMa).

“Platform ini adalah puncak usaha KPM sejak beberapa tahun yang lalu bersama-sama dengan pihak Google, Microsoft dan Apple. Ia menawarkan semua aplikasi dan perkhidmatan yang diperlukan untuk memperkasa pembelajaran digital seperti Google Classroom, Microsoft 365 dan Apple Teacher Learning Centre,” katanya selepas merasmikan bengkel tersebut.

Hadir sama, Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor, Sajoli Masdor; Ketua Penolong Pengarah Sektor Sumber dan Teknologi Pendidikan JPN Selangor, Mohammad Nuri Hussin; Pengarah Bahagian Pendidikan Microsoft Malaysia, Shida Zainal Abidin; Pengurus Jualan (Kerajaan) Epson Malaysia, Noriza Zakaria dan Ketua Pengajar AR Edutech (M) Sdn Bhd, Mohammed Ariffin.

Dr Ahmad Rafee berharap bengkel berkenaan dapat memantapkan kemahiran guru dengan lebih aktif dan berinovasi dalam tujuan memodenkan amalan PdP serta pendigitalan pendidikan.

Dalam pada itu, Sajoli berkata, bengkel tersebut memberi peluang kepada guru untuk menggunakan kepelbagaian teknologi pendidikan sedia ada sekali gus diadaptasi di dalam bilik darjah.

Dr Ahmad Rafee (kanan) menandatangani plak sempena merasmikan Digital Maker Hub Sektor Sumber dan Teknologi Pendidikan Jabatan Pendidikan Negeri Selangor baru-baru ini.
Dr Ahmad Rafee (kanan) menandatangani plak sempena merasmikan Digital Maker Hub Sektor Sumber dan Teknologi Pendidikan Jabatan Pendidikan Negeri Selangor baru-baru ini.

“Pelaksanaan pengintegrasian teknologi pendidikan dapat melancarkan proses PdP kerana ia lebih fokus dan dapat membantu murid menerima pembelajaran yang maksimum dengan penggunaan masa minimum.

“Kaedah pengintegrasian teknologi pendidikan dalam pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah juga mampu memberi kelainan serta kepelbagaian kepada kaedah mengajar,” ujarnya.

Beliau menambah, murid boleh menguasai pelbagai kemahiran manipulatif seperti kemahiran pemprosesan perkataan (words), pangkalan data (database), grafik (kaku atau bergerak) dan membuat pembentangan tugasan menggunakan alat-alat teknologi.

Katanya, para guru dan murid harus mempunyai kemahiran yang diperlukan untuk menggunakan teknologi dengan lebih berkesan.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp