Ibu bapa dinasihatkan untuk mendidik anak-anak tentang adab menerima duit raya sejak kecil.
Ibu bapa dinasihatkan untuk mendidik anak-anak tentang adab menerima duit raya sejak kecil.

4 adab terima duit raya

AZLEENDA SAHALUDIN
25 Apr 2023 08:39am
A
A
A

Sambutan Aidilfitri amat sinonim dengan juadah yang jarang-jarang dapat kita makan seperti lemang, ketupat, rendang serta pelbagai jenis kuih raya.

Selain itu, perkara lebih menarik apabila menyebut tentang perayaan ini adalah pemberian duit raya.

Menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, konsep pemberian duit raya sama ada kepada ibu bapa dan juga kanak-kanak sepanjang bulan Syawal menepati perbuatan sedekah dalam Islam.

Tidak menjadi kewajipan buat sesiapa sahaja untuk memberi duit raya khususnya kepada pelajar sekolah sekiranya tidak mampu.

Namun, perkara yang lebih penting adalah adab menerima duit tersebut lebih-lebih lagi ketika mengunjungi saudara atau jiran di hari bahagia ini.

Cikgu Mohd Suhaimi
Cikgu Mohd Suhaimi

Menurut Guru Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Seroja, Selangor, Cikgu Mohd Suhaimi Mohd Nizam, setiap pemberian daripada sesiapa sahaja perlu dianggap sebagai rezeki atau nikmat daripada ALLAH.

Artikel Berkaitan:

Sekiranya tidak beradab, ia diibaratkan sebagai perbuatan yang tidak mensyukuri pemberian berkenaan.

“Pemberian seperti duit raya adalah tanda kasih sayang orang dewasa kepada anak-anak lebih-lebih lagi mereka yang masih bersekolah.

“Justeru, mereka perlu beradab dalam menerima apa sahaja pemberian bagi mengelakkan sebarang persepsi dan tanggapan buruk.

“Apatah lagi, sekiranya anak-anak yang membuat salah pasti ibu bapa yang akan dipersalahkan dan dianggap tidak pandai mendidik anak,” ujarnya ketika dihubungi Sinar Bestari, baru-baru ini.

Sehubungan itu, sempena hari raya tahun ini, Sinar Bestari tertarik untuk berkongsi empat adab menerima duit raya yang dipetik daripada Cikgu Mohd Suhaimi.

Jom kita lihat!

1) Tunjukkan riak gembira menerima pemberian.

Diingatkan untuk sentiasa senyum lebih-lebih lagi ketika menerima pemberian duit raya daripada orang dewasa.

2) Ucapkan terima kasih sebagai tanda syukur.

Setiap kali menerima duit raya, ucap Alhamdulillah dan terima kasih. Sekiranya dibenarkan syarak, salam dan ucapkanlah selamat hari raya.

3) Terima tanpa mempersoalkan nilai yang diberi.

Anak-anak terutamanya mereka yang bersekolah rendah perlu dididik untuk menerima sahaja pemberian duit raya tanpa mempersoalkan berapa nilai yang diberi. Penting untuk melarang mereka membuka sampul raya di hadapan si pemberi.

4) Manfaatkan pemberian elakkan pembaziran.

Duit raya yang diterima hendaklah dimanfaatkan dengan betul sama ada di simpan untuk pendidikan akan datang atau membeli barang keperluan. Ini untuk mengelakkan sebarang pembaziran daripada berlaku.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok