Antara tindakan boleh diambil jika berdepan pembuli siber

AZLEENDA SAHALUDINAZLEENDA SAHALUDIN
10 May 2023 09:13am

Isu melibatkan buli siber sering menjadi perbualan hangat apatah lagi dengan perkembangan dan kecanggihan teknologi hari ini yang dilihat sedikit sebanyak mendorong kepada peningkatan kes berkenaan.

Buli siber atau gangguan siber adalah sejenis buli yang berlaku dalam talian dengan melibatkan teks, imej atau video bagi tujuan memalukan, mengugut atau maki hamun mangsa.

Menurut satu laporan media, berdasarkan laporan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) pada 2020, Malaysia berada di kedudukan kedua Asia bagi kes buli siber selepas India.

Malah setahun sebelum itu, UNICEF melaporkan tiga daripada 10 remaja Malaysia pernah menjadi mangsa buli siber yang dibuat melalui media sosial.

Kejadian buli siber ini boleh berlaku sekiranya seseorang tidak berpuas hati dengan individu yang lain sama ada dari sudut penampilan, kemewahan atau tingkah laku.

Kesan daripada kejadian ini menyebabkan mangsa tertekan dan sentiasa resah sehingga boleh mengundang kebimbangan (anxiety) serta kemurungan.

Lebih dahsyat lagi buli siber juga boleh mengundang peningkatan kes bunuh diri akibat daripada tekanan dan kata-kata kecaman yang diterima daripada pembuli-pembuli di media sosial.

Kredit foto: Freepik
Kredit foto: Freepik

Artikel Berkaitan:

Melihat kepada bahaya dan kesan daripada buli siber ini, Sinar Bestari tertarik untuk berkongsi tindakan yang boleh diambil sekiranya seseorang itu terutamanya pelajar sekolah berdepan dengan situasi tersebut.

Ini boleh mengurangkan tekanan yang diterima sehingga boleh menjejaskan pembelajaran.

Jom kita lihat.

Tindakan berdepan dengan buli siber

1) Abaikan si pembuli

Mangsa yang berdepan dengan buli siber disarankan untuk mengabaikan si pembuli dengan tidak membalas sebarang mesej yang dihantar. Ini kerana tindakan membalas perbuatan yang diterima boleh memburukkan lagi keadaan.

2) Laporkan berserta bukti buli siber yang diterima

Mangsa hendaklah berani membuat laporan selain menyekat mana-mana akaun si pembuli di semua media sosial. Laporan ini dibuat bagi menghalang gangguan berterusan dilakukan si pembuli. Ibu bapa juga disarankan untuk sering bertanya kepada anak-anak sekiranya melihat mereka berdepan dengan perubahan emosi dan membantu menyelesaikannya dengan melaporkan kes berkenaan kepada pihak tertentu.

Kredit foto: Freepik
Kredit foto: Freepik

3) Tutup akaun atau hentikan penggunaan media sosial

Sekiranya masih berdepan dengan buli siber secara berterusan, mangsa dicadangkan untuk menutup akaun atau menghentikan penggunaan media sosial buat sementara. Ini dilakukan bagi mengelakkan sebarang perkara tidak diingini berlaku.

4) Mendalami pengetahuan siber khususnya aspek keselamatan dan privasi

Pelajar atau ibu bapa hendaklah mula berfikiran terbuka dengan mempelajari ilmu tentang siber memandangkan teknologi negara juga semakin maju dengan adanya pelbagai aplikasi baharu di pasaran. Ibu bapa perlu mengenal pasti risiko setiap aplikasi yang digunakan anak-anak selain memantau penggunaannya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp