No Image Caption

Baru tahu kenapa kefahaman pelajar kadang kala berbeza

18 Aug 2023 04:24pm



Serabut betul hendak memahami topik algebra semasa kelas matematik di sekolah sebentar tadi, tetapi selepas pulang ke rumah dan menonton penerangan video di TikTok, senang pula.

Pernahkah anda berhadapan dengan situasi sedemikian rupa?

Jika pernah itu menandakan anda memerlukan kaedah pembelajaran dengan gaya yang lebih spesifik untuk lebih memahami.

Kaedah pembelajaran VAK (Visual, Auditori, Kinestetik)) yang diperkenalkan oleh seorang pakar psikologi, Walter Burke Barbe kemudian dikembangkan oleh Neil Fleming merumuskan terdapat tiga kaedah pembelajaran yang digunakan kebanyakan orang.

Kaedah-kaedah tersebut ialah visual, auditori dan kinestetik.

Bagi kaedah visual, pelajar perlu menyerap sesuatu maklumat dalam bentuk imaginasi seperti imej, video, gambar rajah atau peta minda.

Justeru, penerangan lisan yang panjang kadang kala tidak mendatangkan kepuasan terhadap kefahaman mereka.

Sebaliknya dengan menonton video berdurasi satu minit di laman sosial TikTok, Facebook dan Twitter ternyata lebih manfaat.

Artikel Berkaitan:


Jadi tidak hairanlah mengapa terdapat guru yang menjadi pempengaruh di media sosial hari ini untuk menyampaikan ilmu kerana gaya visual kadang kala dilihat lebih santai tetapi padat.

Untuk kaedah auditori pula, jika anda selesa mendengar pembentangan, syarahan atau mampu meluangkan masa untuk terperap dalam bilik sehingga berjam-jam bagi mendengar audio siar (podcast) dari mana-mana media.

Tahniah! Anda merupakan seorang pelajar auditori yang mampu menyerap segala penyampaian lisan dengan baik.

Individu sebegini juga seorang yang sangat bagus dalam memberikan penerangan secara oral tentang sesebuah perkara kepada orang ramai.

Mereka yang mempunyai karakteristik sebegini juga sangat peka dan sensitif tentang nada suara dan irama.

Kaedah kinestetik pula memperlihatkan seseorang individu itu sukakan aktiviti luar atau dikenali sebagai seorang yang terkenal dengan bakat kepimpinan dalam sesebuah kumpulan.

Tanpa ragu, status kinestetik dipegang oleh diri anda dan seseorang yang mempunyai daya tersebut lebih cenderung menggunakan pergerakan fizikal seperti tangan juga anggota badan bagi memproses maklumat.

Justeru, dapat dilihat, individu sebegini sangat menyukai aktiviti seperti eksperimen, sukan atau sebarang tugasan lapangan dan teknikal.

Maka, tidak menghairankan kadang kala kita dapat melihat seseorang pelajar itu biasa-biasa sahaja di dalam kelas namun cukup hebat dalam pertukangan, kemahiran tangan dan sebarang aktiviti luar yang lain.

Kesimpulannya, jika konsep di atas dapat difahami dengan baik, kita pasti tahu kemampuan individu dalam meraih sesuatu perkara itu adalah berbeza dan sudah pasti kreativiti memainkan peranan dalam menjayakan konsep penyerapan ilmu pengetahuan.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp