Belanjawan 2024: Pakar pendidikan garis beberapa perkara kerajaan perlu beri perhatian

MOHAMAD AMREEL IMAN ABD MALEK
26 Sep 2023 12:32pm
A
A
A



Hanya beberapa minggu lagi, Belanjawan 2024 bakal dibentangkan di Parlimen bagi merangka perbelanjaan nasional.

Sudah pasti pada hari tersebut, warganegara tanpa mengira apa jua latar belakang ternanti-nanti tentang inisiatif yang bakal diperkenalkan oleh kerajaan.

Bagi sektor pendidikan, apa yang diharapkan daripada belanjawan adalah pembentangannya dapat memberi khabar gembira mengenai penambahbaikan fasiliti atau kemudahan di platform berkenaan.

Baru-baru ini, Pensyarah Kanan Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad menggariskan beberapa perkara yang perlu diberi fokus kerajaan pada Belanjawan 2024 nanti.

Antaranya termasuk meningkatkan infrastruktur Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) di sekolah dengan memberi tumpuan terhadap usaha baik pulih makmal sains supaya keberkesanan PdP subjek Pendidikan Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM) dapat dipertingkatkan.

Turut termasuk, penyediaan padang sekolah dan peralatan sukan yang mencukupi serta mewujudkan dewan terbuka berbumbung bagi memastikan setiap aktiviti murid dan pelajar tidak terjejas akibat cuaca seperti hujan dan panas terik.

“Menambah bilangan sekolah rendah dan menengah baru khususnya di kawasan bandar yang sedang berhadapan dengan kesesakan murid yang kritikal.

“Menyediakan peruntukan khas untuk memastikan agenda pendigitalan pendidikan dapat dijayakan sepenuhnya pada tahun 2024.

Artikel Berkaitan:


“Setiap sekolah perlu mempunyai capaian internet yang baik untuk tujuan PdP,” kata beliau dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Beliau turut berharap kerajaan dapat memberi perhatian dengan mewujudkan inisiatif lain termasuk skim bantuan peranti kepada pelajar atau murid daripada keluarga miskin, peruntukan khas untuk latihan pedagogi guru dan peruntukan penyediaan lebih banyak kandungan digital bagi tujuan PdP di sekolah.

Anuar juga berharap, menerusi Belanjawan 2024 itu, isu kekurangan 20,000 orang guru di negara dapat diatasi menerusi peruntukan khas bagi tujuan lantikan guru ‘one off’.

“Kekurangan guru telah menyebabkan sesi PdP tidak dapat dilaksanakan dan menyebabkan murid ketinggalan dalam pelajaran.

“Selain itu, kerajaan perlu menyediakan lebih banyak peluang pengajian Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) untuk pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Kemudian, selain membina lebih banyak institusi TVET dan Teknikal yang baru, kerajaan juga perlu menyediakan insentif untuk menarik dan melibatkan lebih banyak pihak swasta dalam menyediakan peluang kerjaya dalam bidang tersebut,” ulas beliau.

Tambahnya, program TVET perlu dipelbagaikan dari segi bentuk kursus yang ditawarkan sesuai dengan keperluan semasa seperti memperkenalkan kemahiran teknologi pertanian dan penternakan.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok