Gambar hiasan - Kredit foto GR Stocks/Unsplash
Gambar hiasan - Kredit foto GR Stocks/Unsplash

Garis panduan pelupusan al-Quran

MARIATUL QATIAH ZAKARIA
10 Apr 2023 11:39am
A
A
A

Al-Quran adalah mukjizat terbesar Nabi SAW di mana ia mengandungi 114 surah dan susunannya ditentukan oleh ALLAH secara mutlak.

Al-Quran manual kehidupan dan kitab petunjuk ke jalan yang sebaik-baiknya bagi umat Islam juga hidayah serta petunjuk bagi pelbagai persoalan kehidupan manusia.

Untuk itu, mempelajari al-Quran adalah satu kewajipan dan ia bukan sekadar mempelajari cara membaca dan hukum tajwid malah mempelajari dan menerangkan isi al-Quran kepada orang ramai juga suatu kewajipan ke atas umat Islam.

Ternyata al-Quran merupakan kalam yang begitu suci hinggakan cara untuk melupuskannya perlulah dilakukan dengan cara yang betul agar kesuciannya tidak tercemar.

Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kali Ke-13 pada 1 dan 2 Julai 1985 juga telah memperincikan; “Orang-orang bukan Islam adalah diharamkan/tidak boleh menulis, mengukir, membentuk, mempamerkan dan menjual barang-barang yang mengandungi ayat-ayat suci al-Quran”.

Sehubungan itu, kali ini Sinar Bestari paparkan garis panduan untuk melupuskan al-Quran lama atau rosak.

Termasuk dalam garis panduan ini ialah hadis-hadis nabi dan doa-doa yang mengandungi gabungan ayat-ayat suci al-Quran atau nama-nama ALLAH di dalamnya.

Cara pelupusan

  • Bahan buangan atau lebihan yang mengandungi huruf atau ayat-ayat suci al-Quran hendaklah dilupuskan secara berasingan daripada bahan-bahan lain serta dilarang menggunakannya semula bagi apa-apa tujuan sekalipun.
  • Kaedah pelupusan sama ada secara pembakaran atau ditanam. Al-Quran yang rosak, koyak, yang tidak boleh dibaca dan yang bukan Rasm Uthmani hendaklah dilupuskan. Kaedah pelupusan adalah dibakar di tempat yang di kawal dan ditanam di tempat yang di kawal. (Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Melaysia Kali Ke-30 yang bersidang pada 22 Ogos 1992).



Cara pembakaran adalah seperti berikut:

  • Bahan yang mengandungi ayat-ayat al-Quran yang dibakar hendaklah menyeluruh tanpa tertinggal mana-mana bahagian yang tidak terbakar.
  • Artikel Berkaitan:

  • Bahan-bahan atau debu yang mengandungi ayat-ayat suci al-Quran yang telah dibakar hendaklah dikumpul supaya tidak ditiup angin atau bersepah.
  • Debu tersebut hendaklah dimasukkan ke dalam bekas yang sesuai dan perlu dikawal kesuciannya supaya tidak ditiup angin atau berterbangan.
  • Debu hendaklah dimasukkan ke dalam guni atau bekas dengan muatan setiap satu guni tidak melebihi 15 kilogram sama ada untuk ditanam atau sebaliknya.
  • Bahan yang telah dibakar hendaklah ditanam pada tempat yang bersih atau tempat yang tidak dilalui orang atau dibuang ke dalam laut/sungai yang mengalir airnya.
  • Kerja-kerja pembakaran hendaklah dikawal selia oleh pegawai Jabatan Agama atau pihak yang mahu melupuskan bahan-bahan tersebut.
  • Tempat pembakaran perlu di kawasan yang luas, terkawal dan terhindar daripada pendangan orang ramai yang memungkinkan berlakunya fitnah terhadap kesucian al-Quran.
  • Sebelum proses pembakaran, bahan-bahan yang mudah terbakar perlu dijauhkan daripada tempat pembakaran tersebut.
  • Kaedah pelupusan teks al-Quran adalah secara pembakaran yang menggunakan mesin incinerator yang mesra alam.
  • Cermin kaca yang mengandungi tulisan atau teks al-Quran hendaklah dihilangkan tulisannya menggunakan asid atau bahan lain yang bukan daripada najis.
  • Plat aluminium yang mengandungi tulisan atau teks al-Quran hendaklah dihilangkan tulisan tersebut daripada kepingan plat berkenaan.

SUMBER: JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA DAN MOHA.GOV.MY

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok