Masalah bantut tumbesaran berkait rapat dengan faktor utama iaitu pemakanan.
Masalah bantut tumbesaran berkait rapat dengan faktor utama iaitu pemakanan.

‘Jangan dipandang ringan isu bantut’

Ibu bapa disaran lakukan pemeriksaan berkala

AZLEENDA SAHALUDIN
01 Apr 2024 10:03am
A
A
A

Bantut tumbesaran adalah isu kekurangan nutrisi kronik, selain kurang berat badan dan susut dalam kalangan kanak-kanak berusia bawah lima tahun.

Hasil Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) pada tahun 2019 mendapati, seorang daripada lima kanak-kanak (21.8 peratus) mengalami masalah bantut.

Keadaan ini pastinya menimbulkan kebimbangan banyak pihak kerana ia mampu memberi implikasi terhadap generasi anak-anak akan datang jika tidak ditangani dengan serius.

Tertarik untuk mengetengahkan isu ini, Sinar Bestari mendapatkan maklum balas daripada Pakar Perunding Pediatrik dan Pediatrik Endokrinologi, Doktor Rashdan Zaki Mohamed.

Doktor Rashdan
Doktor Rashdan

Menurut Dr Rashdan, kadar bantut tumbesaran dalam kalangan kanak-kanak sememangnya menunjukkan peningkatan peratusan daripada 17 peratus sehingga 21 peratus dan terkini, dianggarkan mencecah 30 peratus.

Sementara data keseluruhan di Malaysia mengikut kategori negeri, pantai timur seperti Kelantan menunjukkan jumlah sebanyak 30 peratus pada tahun 2016.

Diikuti dengan Terengganu dan Pahang sekitar 25 hingga 27 peratus. Lebih memeranjatkan lagi, Putrajaya turut mencatatkan kadar bantut yang tinggi walaupun dikategorikan negeri bandar.

Artikel Berkaitan:

"Paling bagus adalah Kuala Lumpur iaitu sebanyak 10 peratus sahaja tetapi ia masih di paras tinggi sebab negara yang membangun sepatutnya mempunyai kadar 6.6 peratus.

“Jadi, melihat kepada data ini jelas menunjukkan negara kita mempunyai masalah bantut tumbesaran yang sangat serius dan perlu ditangani segera,”•katanya kepada Sinar Bestari.

Faktor pemakanan

Bercerita mengenai punca masalah ini, Dr Rashdan memberitahu, ia berkait rapat dengan faktor utama iaitu pemakanan.

Katanya, seharusnya kanak-kanak berusia dua hingga empat tahun pertama amat bergantung kepada nutrisi daripada apa yang dimakan.

“Untuk bayi sememangnya susu ibu adalah yang terbaik untuk tumbesaran mereka, tetapi apabila mencecah umur yang sudah boleh makan seperti bubur dan sebagainya, pemakanan seimbang dan optimum adalah paling penting.

“Pengambilan zat makanan seimbang bukan sahaja membantu tumbesaran atau ketinggian kanak-kanak mengikut umur tetapi berupaya mengelakkan obesiti,” ujarnya.

Selain itu, faktor lain yang boleh mendorong kepada masalah bantut adalah genetik dan anak yang lahir mempunyai masalah seperti sindrom Down dan sindrom Turner.

Namun lain pula ceritanya sekiranya anak-anak ini mempunyai masalah melibatkan hormon tumbesaran memandangkan sesetengah mereka boleh mendapat penyakit seperti Hypothyroidism yang menyebabkan terbantut.

“Lionel Messi, pemain bola sepak terkenal dunia mempunyai masalah ini tetapi dari kecil, dia menerima suntikan growth hormone dan apabila sudah mencapai ketinggian yang sepatutnya, dia berhenti terima suntikan.

“Sesetengah anak-anak yang mempunyai penyakit kronik seperti jantung, paru-paru, ia juga boleh mendorong kepada masalah bantut tumbesaran.

“Kesimpulannya, kanak-kanak ini perlu sihat untuk tinggi,” jelasnya lagi.

Dr Rashdan turut berkongsi anggaran ketinggian kanak-kanak mengikut kategori jantina yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Jelasnya, bagi seorang lelaki dewasa adalah sekitar 160 sentimeter (cm) hingga 167cm, manakala wanita pula 154cm hingga 155cm.

Sekiranya ibu bapa mula perasan anak-anak tidak boleh mencapai tahap ketinggian itu, mereka seharusnya bimbang dan merujuk terus kepada doktor pakar.

Dr Rashdan turut mengatakan, purata ketinggian ditetapkan negara ini amat rendah jika dibandingkan negara Asia lain seperti Singapura, Korea dan Jepun.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok